Seorang bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) memberitahu Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu bahawa sejumlah besar wang tunai yang ditemui di pejabatnya semasa serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2016 adalah milik orang lain.
Ag Tahir Talib ketika memberi keterangan berkata wang tersebut sudah berada di pejabat itu ketika dia mula berkhidmat di jabatan tersebut dan mengatakan hanya sebahagian kecil sahaja wang tersebut merupakan miliknya.
"Kebanyakan wang tunai di pantri itu bukan milik saya. Ia memang sudah ada ketika saya mula ambil alih pejabat itu.
"Namun, dari semasa ke semasa, saya ada menyimpan sedikit wang sendiri di situ kerana abang saya adalah bendahari Umno, kadang-kadang datang untuk meminta sumbangan politik.
"Saya anggarkan kira-kira RM20 juta sudah pun ada di situ, dan lebih kurang RM3 juta adalah milik saya,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Tahir memberikan keterangan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat ketika perbicaraan pembelaan dirinya yang bersambung hari ini.
Mengenai papan tanda bertulis "Go Away" (Pergi Jauh) yang terdapat pada pintu di sebelah tingkap di belakang meja pejabatnya, Ag Tahir berkata ia sudah ada ketika dia mula bertugas di situ.
Semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, Ag Tahir tetap menegaskan bahawa sebahagian besar wang tunai yang ditemui di pejabatnya adalah milik orang lain.
Namun, Ag Tahir berkata dia tidak dapat mengingati sama ada wang tunai itu dikeluarkan dan dipamerkan di hadapan pejabat semasa serbuan berlaku.
Pendakwa raya: Adakah anda berada di pejabat sepanjang proses serbuan? Dan adakah anda menyaksikan proses itu?
Ag Tahir: Saya duduk di situ, tetapi saya tidak menyaksikan apa-apa.
Ketika ditanya soalan lain, Ag Tahir berkata dia tidak tahu isterinya, Fauziah Piut, mempunyai 19 akaun bank dan juga tidak tahu jumlah wang dalam akaun tersebut mencecah RM2.2 juta.
Dia juga tidak bersetuju dengan kenyataan bahawa selain wang jutaan ringgit, SPRM turut menemui 900 barangan kemas.
Menurutnya, dia tidak tahu bahawa nilai semua barang kemas itu ialah RM1.7 juta pada tahun 2016, dan pada tahun 2023 seorang saksi pakar memberi keterangan bahawa nilainya meningkat kepada RM4.1 juta.
Selain Tahir, turut dibicarakan ialah isterinya, Fauziah Piut, 60, dan bekas Timbalan Pengarah, Lim Lam Beng, 66.
Ketiga-tiga mereka berdepan 37 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang tunai dan simpanan bank berjumlah RM61.57 juta, serta pemilikan barang mewah secara tidak sah antara Oktober hingga November 2016.
Pendakwaan dijalankan oleh timbalan pendakwa raya Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim.
Tahir dan Fauziah diwakili oleh Ansari Abdullah dan Erveana Ansari – manakala Lim diwakili oleh Tan Hock Chuan, Baldev Singh, Karpaljit Singh dan Kelvin Wong.
Perbicaraan akan disambung semula pada 23 Julai.

