malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MCA mahu KPM keluarkan garis panduan kemasukan matrikulasi
Diterbitkan:  Jun 26, 2025 10:15 PM
Dikemaskini: 2:15 PM
ADS

MCA hari ini menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerbitkan garis panduan mengenai kemasukan program matrikulasi bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Langkah itu, kata MCA, dapat membantu pelajar yang menduduki SPM pada tahun depan membuat persediaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Pendidikan MCA, Ong Chee Siang, berkata ketika ini ketiadaan garis panduan yang jelas mengenai hal berkenaan menyebabkan ramai pelajar dan keluarga berada dalam keadaan tertanya-tanya dan keliru.

“Ketidakpastian yang berterusan ini menyebabkan kekecewaan semakin meningkat dan keyakinan orang ramai terhadap KPM dan kerajaan secara keseluruhannya menurun.

“Terdapat kebimbangan bahawa tanpa garis panduan yang sewajarnya, perubahan kepada polisi kemasukan akan terus dibuat dalam tempoh singkat setiap tahun, menyebabkan pelajar tidak bersedia dan terjejas secara tidak adil,” katanya.

Semalam, KPM mengumumkan bahawa semua pelajar SPM yang memperoleh 10A dan ke atas – termasuk A- akan mendapat tempat dalam program matrikulasi tanpa mengira latar belakang kaum.

Ong Chee Siang

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan DAP mendapat kritikan MCA serta MIC selepas didapati KPM mengklasifikasikan A dan A- dalam gred SPM sebagai kategori di bawah cemerlang.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pula berjanji bahawa semua pelajar yang mempunyai 10A akan layak mengikuti program matrikulasi.

Mengulas pengumuman Anwar, Ong berkata KPM gagal mematuhinya sehinggalah mereka berdepan tekanan awam.

"Situasi serupa berlaku lagi tahun ini. Selepas keputusan SPM dikeluarkan, KPM sekali lagi menukar kriteria tanpa notis, mengeluarkan pelajar A- daripada senarai kemasukan automatik," katanya.

Tambah Ong, perubahan dasar pada saat akhir seperti itu menjejaskan pelajar berpencapaian tinggi, termasuk pelajar yang hanya menduduki sembilan mata pelajaran, terlepas pandang daripada perhatian KPM.

"Mereka yang mendapat 9A, terutamanya 9A+, jelas berprestasi tinggi. Usaha mereka harus diiktiraf sama rata.

“Semua pelajar berprestasi tinggi, sama ada mereka menduduki sembilan atau 10 mata pelajaran, berhak mendapat pertimbangan yang adil dan sama rata.

“Tiada pelajar harus ketinggalan kerana sistem kemasukan yang tidak jelas atau tidak adil,” katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen