Mengarut – itu anggapan Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan menilai penafian dibuat bekas ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga Yang Dipertua PAS Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad.
Kata Syahredzan, berbanding memohon maaf atas hantaran yang kontroversi semalam menantu Abdul Hadi Awang itu mungkin tidak faham apa sebenarnya inisiatif Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang sudah sekian lama dilaksanakan.
“Apa kaitan (isu) kerakyatan dengan program Malaysia My Second Home (MM2H)?
“Ke, pemimpin PAS ini sebenarnya tidak tahu dasar MM2H yang sudah berdekad lama dilaksanakan?” katanya.
Ia merupakan komentar kedua dibuat Syahredzan berhubung hantaran dibuat Zaharuddin di media sosial yang mengundang kritikal beberapa pihak.
Antara lain Zaharuddin dituduh cuba membangkitkan sentimen perkauman apabila membuat hantaran rekaan kononnya Malaysia mendapat perdana menteri daripada keturunan Cina kira-kira 33 tahun akan datang.
Hantaran itu juga sudah diadukan kepada pihak polis oleh Pemuda PKR Selangor.
PAS pula menjarakkan diri daripada isu tersebut apabila menegaskan kenyataan dibuat itu tidak mewakili pendirian rasmi parti terbabit.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata hantaran itu berlawanan sama sekali dengan dasar, ketetapan dan wawasan PAS yang sah.
Pun begitu Takiyuddin tidak menyebut nama mana-mana pemimpin.
Kata Syahredzan selepas membuat “kenyataan rasis” Zaharuddin menggunakan “alasan dangkal” pula untuk mempertahankan diri apabila dikecam banyak pihak.
“Yang lagi mengarut, dia kata mahu ambil tindakan terhadap (Ahli Parlimen Bukit Mertajam) Steven Sim. Atas dasar apa? Sebab mempertahankan Datuk Johnny (Lim) dan ATM (Angkatan Tentera Malaysia)?” katanya.
Syahredzan yang juga seorang peguam menegaskan Zaharuddin memilih untuk menyalahkan orang lain ketika dia sendiri melakukan kesilapan.
“Tiada permohonan maaf, tiada pengakuan salah, tiada kekesalan tetapi ghairah pula ingin menyaman orang.
“Pemimpin PAS harus sedar bahawa Malaysia ini negara berbilang bangsa, dan dimiliki oleh semua. Perpaduan kita harus dipertahankan dan diraikan.
“Rakyat Malaysia yang sayang kepelbagaian, kita wajar tolak parti dan politik seperti ini!” katanya lagi.

