Suatu cabang Pemuda PKR di Selangor hari ini menggesa pihak berkuasa menyiasat Yang Dipertua PAS Sungai Buloh atas dakwaan menghasut selepas memuat naik hantaran media sosial yang dianggap berbaur perkauman dan memecah belah masyarakat.
Pemuda PKR Klang juga menggesa agar Zaharuddin Muhammad disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam laporan polis yang dilihat oleh Malaysiakini, Ketua Pemuda PKR Klang Mohamad Shahrul Adnan menyifatkan hantaran Zaharuddin itu berpotensi untuk mencetuskan ketegangan kaum.
"Saya percaya ini akan menjadi laporan polis pertama dan akan disusuli lebih banyak daripada Pemuda PKR di seluruh negara," kata Shahrul kepada pemberita selepas membuat laporan itu di Shah Alam.
Semalam Zaharuddin menarik perhatian ramai apabila memuat naik hantaran berupa laporan berita rekaan yang memberi gambaran ada seorang tokoh Cina dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Dalam hantaran menyindir itu Zaharuddin – yang juga menantu Presiden PAS Abdul Hadi Awang – turut mengaitkan pelantikan tersebut dengan inisiatif Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).
Mengiringi hantaran tersebut ialah gambar penganugerahan pangkat leftenan jeneral kepada Komandan Maktab Ketahanan Nasional, Johnny Lim Eng Seng.
Hantaran itu kemudian dipadamkan oleh Zaharuddin.
Dalam penjelasannya hari ini Zaharuddin menafikan dia menghina penganugerahan pangkat kepada Lim sebaliknya menegaskan imej berkenaan disertakan hanya sebagai hiasan.
Sebaliknya, dakwa Zaharuddin, hantaran tersebut dibuat bagi menyedarkan orang ramai terhadap “bahaya” inisiatif MM2H.
Pemuda PKR itu juga mendakwa Zaharudin mempromosi kebencian dan ketakutan melalui hantaran tersebut.
“Sindirannya bukan sekadar pendapat peribadi tetapi mencerminkan naratif berbahaya dan sistematik yang mengancam untuk memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum kita,” katanya.
Mereka seterusnya menyifatkan hantaran berkenaan suatu penghinaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekali gus Yang di-Pertuan Agong yang merestui pelantikan Lim.
" Lim berkhidmat dengan penuh dedikasi selama 41 tahun dan dipilih berdasarkan merit, bukan kaum.
“Menghinanya adalah satu tindakan tidak menghormati yang menjejaskan integriti ATM," katanya.

