Persatuan Pengusaha Galian Sabah (PPGS) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, susulan skandal rasuah yang menyelubungi pentadbirannya.
Menurut PPGS, adalah mustahil Hajiji yang juga Pengerusi Pengurusan Mineral Sabah (SMM), tidak mengetahui apa yang berlaku memandangkan segala hal berkaitan sumber asli di negeri itu berada di bawah bidang kuasa dan kelulusannya.
PPGS merujuk kepada dokumen yang didedahkan oleh pemberi maklumat dikenali sebagai “Albert”, yang juga merupakan ahli persatuan tersebut.
Dalam kenyataannya, persatuan itu turut mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang hanya mendakwa dua Adun pada 30 Jun ini, sedangkan sembilan individu dikatakan terlibat termasuk Speaker DUN.
"Mengapa hanya dua Adun didakwa di mahkamah pada 30 Jun? Bagaimana dengan tujuh lagi yang terlibat? SPRM mesti bertindak tegas dan adil dalam memenuhi mandatnya, tanpa berat sebelah atau pendakwaan terpilih.
"Kedua-dua yang didakwa hanyalah dianggap sebagai "ekor" kerajaan GRS. Bagaimana pula dengan tindakan terhadap "ketua" GRS iaitu ketua menteri?" kata kumpulan itu merujuk kepada kerajaan negeri di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki memaklumkan hanya tiga individu — dua Adun berkenaan dan Albert — akan didakwa berkaitan kes tersebut.
Ketika ditanya mengenai pendakwaan terhadap individu lain, Azam berkata perkara itu bergantung kepada keputusan Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

Ini berlaku walaupun Albert telah menyerahkan rakaman video penuh, telefon mengandungi mesej WhatsApp serta hampir 300 muka surat bukti kepada SPRM.
Terdahulu, Hajiji menafikan sebarang pembabitan dalam skandal tersebut dan mendakwa Albert bersubahat dengan pihak berkepentingan untuk menggugat pentadbirannya.
Albert juga didakwa cuba memonopoli aktiviti perlombongan di negeri itu dan menggunakan cara penipuan bagi tujuan itu.
PPGS bagaimanapun melahirkan rasa kesal dengan pendakwaan terhadap Albert, dengan mempersoalkan keberkesanan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.
"Apakah tujuan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat di negara kita?
"Sekiranya pengadu atau saksi yang mendedahkan rasuah turut ditangkap dan didakwa, siapa yang berani tampil mendedahkan amalan rasuah pada masa hadapan?
"Adalah jelas perbuatan itu bukan enggalakkan sebaliknya menekan pemberi maklumat untuk tidak mendedahkan salah laku," katanya.

