Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) mendakwa Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon, mengelak daripada menjawab kebimbangan berhubung risiko tanah runtuh dalam projek pembangunan di Bukit Gasing.
Presiden Peka, Rajesh Nagarajan, menyifatkan kenyataan Zahri sebagai "bersifat defensif" dan menegaskan bahawa pembangunan banglo di cerun curam boleh menyebabkan kejadian tanah runtuh di kawasan tersebut.
“Datuk bandar tidak menjawab isu utama ini – sebaliknya beliau mengelak daripada memberi penjelasan dan mengalih perhatian dengan menjawab perkara yang tidak pernah dibangkitkan serta bukan isu yang dipertikaikan,” kata Rajesh dalam satu kenyataan hari ini.
Dia turut mempersoalkan dakwaan Zahri bahawa projek itu telah memenuhi kriteria kelulusan, sambil mengkritik pihak berkuasa kerana kurang ketelusan.
“Jika benar projek ini mematuhi syarat, kami menuntut Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengemukakan semua dokumen kelulusan.
“Jika gagal, ini bermakna kelulusan itu sebenarnya tidak mengikut peraturan,” tambahnya.
Terdahulu, akhbar The Star melaporkan Zahri sebagai berkata pembinaan banglo tersebut memenuhi kriteria MBPJ dan dijalankan di atas tanah milik persendirian.
Dia turut menegaskan bahawa projek tersebut tidak menceroboh kawasan Hutan Simpan Bukit Gasing.
Menurut laporan itu lagi, Peka bersama penduduk Petaling Jaya dan para pendaki Bukit Gasing telah mengadakan protes di luar pejabat MBPJ minggu lalu.
Mereka turut menyerahkan satu memorandum kepada MBPJ bagi mendesak agar pembinaan di kawasan cerun dihentikan dan pihak majlis mendedahkan dokumen kelulusan projek tersebut.

