Selepas epal dan oren diumum kerajaan dikecualikan daripada cukan jualan dan perkhidmata (SST), seorang ahli parlimen memohon agar dua lagi buah-buahan dimasukkan ke senarai tersebut.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, berkata kerajaan wajar mempertimbangkan cadangan agar buah limau mandarin dan kurma juga dikecualikan daripada SST.
Berbeza daripada epal dan oren, Lee mencadangkan agar pengecualian SST ke atas limau mandarin dan kurma dibuat pada tempoh terhad.
“Saya mencadangkan agar Kementerian Kewangan mempertimbangkan pengecualian khas SST ke atas buah limau mandarin semasa musim Tahun Baru Cina, dan kurma semasa Ramadan dan Aidilfitri.
“Ia adalah sebahagian daripada pendekatan fiskal bersasar yang sensitif terhadap keperluan budaya dan agama rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pagi tadi mengumumkan bahawa buah epal dan oren akan dikecualikan daripada SST.
Perkembangan itu hadir selepas beberapa pihak mengkritik kerajaan ekoran langkah Putrajaya meluaskan skop SST meliputi buah-buahan import dalam usaha mendapatkan dana buat negara.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata, dia memahmi keresahan sesetengah orang – termasuk golongan B40 – yang memakan epal dan oren import kerana ia lebih murah.
"Ada munasabah juga. Pada mulanya, saya fikir saya tak makan epal oren tak apalah, (boleh) makan betik, buah jambu, langsat, ikut musim, dukun, durian.
"Tapi tak apa kerana kita beri kelonggaran. Import buah-buahan memang ada sedikit cukai, tapi epal dan oren dikecualikan," katanya dalam ucapan di Putrajaya hari ini.
Lee berkata limau mandarin dan kurma merupakan makanan yang sinonim dan tidak dapat dipisahkan dengan sambutan perayaan utama rakyat Malaysia.
Katanya pengenaan cukai 5 peratus ke atas buah-buahan berkenaan bukan sahaja menambah beban pengguna, malah bercanggah dengan prinsip asal pelaksanaan SST yang dikatakan hanya memberi kesan kepada golongan tertentu.
“Jika pengecualian tidak diberikan, keadaan ini turut memberi tekanan kepada peniaga kecil dan pengimport yang bergantung kepada permintaan bermusim bagi menampung kos operasi,” katanya.
Tambah Lee lagi, dia yakin cadangan berkenaan tidak akan memberi kesan ketara terhadap hasil negara kerana ia bermusim dan terhad, sebaliknya memberi impak sosial dan ekonomi yang besar kepada rakyat.
“Sebagai rakan kepada Kementerian Kewangan, saya juga bersedia untuk mengadakan perbincangan lanjut bagi memperhalusi mekanisme pelaksanaan cadangan ini demi mengurangkan beban rakyat,” katanya.

