Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini mengesahkan bahawa pihak pendakwaan dalam kes rasuah RM1.12 juta terhadap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah mengemukakan rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan.
Dalam satu kenyataan, AGC merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Jun yang membebaskan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan berkaitan pecah amanah jenayah, penyelewengan harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Pemuda Bersatu.
"Setelah meneliti dan membincangkan keputusan mahkamah rayuan tersebut, jabatan ini telah memfailkan Notis Rayuan hari ini untuk merayu pelepasan dan pembebasan tersebut," kata AGC.
“Jabatan ini menegaskan bahawa proses rayuan adalah sebahagian daripada sistem kehakiman yang membenarkan semakan keputusan mahkamah yang lebih rendah.
“Ia adalah amalan biasa dalam sistem kehakiman negara dan tidak menggambarkan prejudis terhadap mana-mana pihak,” kata AGC.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Ahmad Zaidi Ibrahim, bersama Azman Abdullah dan Noorin Badaruddin telah sebulat suara memutuskan untuk menerima rayuan bekas menteri belia dan sukan itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Nov 2023, yang mensabitkan dan menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.
Ketika membaca penghakiman, Noorin berkata panel hakim mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan, antara lain, pertuduhan bersubahat dengan bekas ketua Pemuda Bersatu melakukan pecah amanah membabitkan RM1 juta dana sayap itu.
Pihak pendakwaan juga gagal menunjukkan niat tidak jujur apabila Syed Saddiq mengarahkan dana itu ditarik balik, bahawa tindakannya membawa kepada keuntungan secara salah untuk dirinya sendiri atau kerugian secara salah untuk Pemuda Bersatu.
Syed Saddiq menegaskan bahawa pertuduhan terhadapnya adalah bermotifkan politik.

