Penguat kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) sekali lagi didakwa bertindak merampas buku untuk ‘dikaji’.
Dalam kejadian semalam, Fixi memaklumkan kedainya yang terletak di pusat beli belah Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur, didatangi empat pegawai KDN pada jam 7.30 malam.
“Pegawai penguat kuasa KDN datang ke Kedai Fixi dan rampas dua novel kami iaitu Jelik dan Jelik: 2 oleh Ismi Fa Ismail untuk ‘dikaji’.
“Mereka tidak bayar, mereka hanya ambil dua buku berkenaan dan tinggalkan dokumen,” kata Fixi dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Sebelum ini kejadian sama dilaporkan turut berlaku terhadap Fixi dan kedai buku lain.
Antaranya pada Ogos 2023, media melaporkan KDN menyerbu kedai Toko Buku Rakyat di Wisma Central, Kuala Lumpur milik penulis Benz Ali dan merampas dua buah buku.
Ketika itu Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN berhak mengambil dua buku itu untuk diselidik dan diteliti isi kandungannya yang mengandungi unsur boleh menggugat ketenteraman awam.
Sementara itu Fixi berkata pihaknya mencadangkan agar Saifuddin memberikan duit belanja kepada pegawai-pegawai KDN.
“Ini bukan kali pertama pegawai KDN datang ke sebuah kedai buku untuk buat rampasan sebegini. Proses ini menyusahkan staf kedai yang sepatutnya layan pelanggan yang ada duit.
“Jadi cadangan kami kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail: Sila beri duit belanja kepada pegawai-pegawai anda.
“Setiap buku RM28 je, jadi total RM56. Setelah mereka beli, mereka boleh ‘kaji’ sepuas hati mereka,” katanya.
Tambah syarikat penerbitan itu, mereka tidak akan sakit hati sekiranya buku tersebut dibayar.
“Dan kami taklah rasa sakit hati sebab terlepas jualan RM56 untuk hari itu. Kedai buku bukannya untung banyak pun. Amacam?” kata Fixi lagi.
Pengasas Fixi Amir Muhammad ketika dihubungi Malaysiakini turut mengesahkan serbuan dan rampasan buku-buku berkenaan.
Menurutnya, ini bukan kali pertama tindakan sedemikian oleh KDN terhadap kedai Fixi.

