PAS cuba menjauhkan diri daripada hantaran media sosial kontroversi yang dibuat oleh seorang pemimpin akar umbi yang juga menantu kepada presiden parti Abdul Hadi Awang, sambil menegaskan bahawa kenyataan itu tidak mewakili pendirian rasmi mereka.
Dalam satu kenyataan malam tadi, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata hantaran itu berlawanan sama sekali dengan dasar, ketetapan dan wawasan PAS yang sah.
Takiyuddin tidak menyebut nama pemimpin itu tetapi dipercayai merujuk kepada catatan Facebook Ketua PAS Bahagian Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad yang membuat spekulasi mengenai kemungkinan Malaysia mempunyai perdana menteri bukan Melayu menjelang tahun 2058, sambil mengepilkan gambar pelantikan Johny Lim Eng Seng sebagai leftenan jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Takiyuddin berkata pihaknya memandang serius perkara sebegitu.
"Pandangan individu terbabit sepenuhnya yang bukan sahaja tidak ada kaitan, malah berlawanan sama sekali dengan dasar, ketetapan dan wawasan PAS yang sah seperti yang terkandung dalam Perlembagaan PAS, ketetapan Muktamar Agung Tahunan, mesyuarat parti atau kenyataan rasmi yang dibuat dari masa ke masa.
"PAS komited dan menjunjung tinggi prinsip dan realiti kepelbagaian kaum dan kepercayaan sebagai ciri unik dan berharga masyarakat kita yang perlu dipupuk dengan sebaik-baiknya," kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu.
Takiyuddin mengingatkan bahawa salah satu syarat untuk menjadi ahli PAS adalah "mengaku menerima serta taat kepada Perlembagaan PAS, peraturan, arahan-arahan dan keputusan-keputusan parti dari semasa ke semasa.
"Justeru PAS tidak teragak-agak mengambil tindakan tatatertib terhadap ahli-ahlinya yang melanggar disiplin parti termasuk tingkah laku tidak sensitif yang mencemari cita-cita perpaduan negara dan menimbulkan rasa tidak harmoni serta syak wasangka dalam masyarakat," tambahnya.
Catatan Zaharuddin - yang telah dipadamkan - mencadangkan dasar imigresen seperti program Malaysia My Second Home (MM2H) boleh membawa kepada kemunculan perdana menteri bukan Melayu pada masa hadapan.
MM2H ialah program yang membolehkan warga asing menetap di Malaysia sebagai rumah kedua mereka dengan syarat memenuhi keperluan undang-undang yang ditetapkan.
Zaharuddin mengiringi hantaran tersebut dengan tangkap layar laporan berita mengenai penganugerahan pangkat leftenan jeneral kepada Lim.
Hantaran itu mencetuskan kemarahan ramai, termasuk veteran tentera yang menganggapnya sebagai penghinaan kepada integriti ATM dan institusi Raja.
Dalam catatan terbaru, Zaharuddin menafikan dakwaan dia menghina penganugerahan Johnny Lim dan menegaskan bahawa pada catatan asal dia menyertakan penjelasan bahawa gambar yang dilampirkan hanya gambar hiasan.
"Poin utama tulisan saya ialah untuk menyedarkan masyarakat bahaya MM2H, di mana hari ini pembeli akan beli dan mendiami rumah tersebut.
"Apabila berlaku kelahiran, maka tidak mustahil mereka akan minta kerakyatan dan selepas 20 tahun mereka akan minta hak mengundi. Jika bangsa asing ini masuk secara terancang, sebagaimana Zionis di Palestin, maka tidak mustahil pada tahun 2058, PM Malaysia adalah daripada kalangan anak kelahiran bangsa asing ini. Ini poin utama saya," katanya.
"Apa yang saya maksudkan ialah perlantikan bukan muslim bumiputera adalah perkara biasa, tetapi jangan jadikan PM bukan Melayu perkara biasa macam pelantikan bukan melayu dalam ATM. Itu maksud asal saya," tambahnya.
Pemimpin PAS itu menuduh Menteri Sumber Manusia Steven Sim dan ahli politik lain sengaja memutar belit hantarannya untuk menggambarkannya sebagai bersikap perkauman.
Takiyuddin dalam kenyataannya menegaskan kepelbagaian dan perbezaan latar belakang tidak boleh sama sekali dijadikan alasan atau sebab untuk berlaku tidak adil terhadap mana-mana anggota masyarakat.
“Ia juga tidak boleh dijadikan sandaran untuk menghalang kemajuan, peluang, pencapaian, kebolehan atau cita-cita sah mana-mana individu dan kalangan,” katanya.
Kata Takiyuddin, penganugerahan Lim sebagai peristiwa bersejarah yang sepatutnya diraikan oleh semua rakyat.
"Bukannya dipersoal, apatah lagi diperlekeh semata-mata kerana latar belakang kaumnya.
"Kebolehan, pencapaian, kemajuan dan kejayaan mana-mana anak Malaysia dalam apa jua bidang adalah berita gembira untuk semua, bukan sebaliknya.
"Tahniah daripada PAS buat Leftenan Jeneral Dato’ Johnny Lim," katanya.

