malaysiakini logo
story-image
ADS

Presiden Donald Trump pada mulanya mengumumkan gencatan senjata antara Israel dan Iran yang dikatakan dilaksanakan dalam fasa 12 jam.

Banyak pihak lega–peperangan dihentikan, Perang Dunia Ketiga dielakkan. Tetapi ada pihak yang kecewa kerana tidak berlaku perubahan rejim dan Republik Islam tidak runtuh. Ia bermakna akan berlaku peperangan semula pada masa akan dan Iran terus menjadi ancaman pada Israel. 

Ada satu pihak pula kecewa kerana Negara Israel terus tertegak dan masih mampu membunuh rakyat Palestin terutamanya di Gaza.

Sebaik saja Trump mengumumkan gencatan senjata Israel-Iran, Teheran menyatakan bahawa tidak ada gencatan senjata itu. Malah rundingan untuk itu tidak ada. Iran akan terus menyerang Israel selagi rejim Tel Aviv itu tidak menghentikan serangannya terhadap Iran. 

Donald Trump

Ini kerana Israel memulakan serangan. Rejim Tel Aviv juga kata tiada gencatan senjata. Malah ia terus menyerang Iran, meruntuhkan bangunan dan membunuh orang awam. Iran pun menyerang Haifa lagi.

Trump marah. Katanya beliau marah kepada Israel kerana menyerang Iran. Beliau juga marah kepada Iran yang tidak mahu hentikan serangan.

Baginya, Amerika Syarikat telah memainkan peranan mengebom tiga fasiliti Iran seperti yang diminta Israel. Ini kerana menyerang Iran pada asasnya adalah kerana Israel mendakwa Teheran membangunkan senjata nuklear. Sesuatu yang Iran menafikannya. Sementara Israel pula tidak pernah menafikan bahawa ia memiliki senjata nuklear.

Jadi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu minta Amerika mengebom fasiliti nuklear Iran itu. Jika tidak, Israel akan melakukannya. Baginya, menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear adalah tugas Amerika sebagai kuasa besar. Lagi pun Amerika mampu kerana mempunyai bom penerobos bawah tanah. Israel tidak.

Maka akhirnya Presiden Trump mengarahkan pengeboman Fodow, Isfahan dan Natanz, tempat fasiliti bom itu. Natanz adalah tempat yang sebelum ini, Israel sudah mengebomnya.

Netanyahu mengucapkan terima kasih pada Trump atas tindakan itu. Tetapi Iran menyatakan bahawa sudah tidak ada apa-apa dalam fasiliti kerana kesemua peralatan sudah dipindahkan. Sebab itu tidak ada bacaan radioaktif dikesan. Iran mengulangi pendiriannya bahawa mereka tidak membangun senjata nuklear dan hanya mendirikan pusat tenaga nuklear untuk kegunaan aman.

Tetapi dengan serangan Amerika itu, Iran menyatakan bahawa ia berhak menyerang mana-mana pangkalan tentera Amerika yang berada di Timur Tengah iaitu di Iraq, Syria, Kuwait, Bahrain, Qatar, Emiriah dan Arab Saudi.

Sidang Parlimen Iran yang diadakan menyeru supaya Selat Hormuz ditutup sebagai membalas tindakan Amerika itu. Ahli-ahli parlimen itu juga meminta penglibatan dan bantuan Rusia.

Selat Hormuz

Pada detik-detik ini, dunia terpaku kerana bimbang berlakunya Perang Dunia Ketiga yang melibatkan Amerika, Eropah, Rusia dan China.

Menteri Iran terbang ke Moscow

Menteri Luar Iran, Abbas Alagchi pergi ke Moscow untuk berjumpa dengan Presiden Vladimir Putin sementara Presiden Iran, Massoud Pezeshkian  pergi ke Beijing bertemu dengan Presiden Xi Jinping. Korea Utara dan Pakistan sudah menyatakan mereka bersedia membantu Iran jika diminta. 

Iran tidak terus menyerang pangkalan-pangkalan tentera Amerika. Ia terus menyerang Tel Aviv dan Haifa. Dunia buat seketika berasa lega kerana Iran  tidak membalas serangan Amerika dan Perang Dunia Ketiga dapat dielakkan.

Hanya kemudian, Iran memberitahu Amerika dan Qatar bahawa ia akan menyerang pangkalan tentera di Doha.

Presiden Trump berterima kasih pada Iran kerana memberitahu Amerika Syarikat sebelum mengebom pangkalannya di Iraq dan Qatar yang membolehkannya memindahkan rakyatnya di situ supaya tiada kehilangan nyawa.

Iran menyatakan bahawa mereka telah mengira bilangan bom yang digugurkan oleh Amerika ke atasnya pada Ahad lalu dan serangan balas ke atasnya dirasakan  mencukupi. Qatar menyatakan bantahan kepada Iran kerana menceroboh ruang udaranya. Ia juga berkata sekarang ia berhak membalas serangan Iran itu.

Kehadiran tentera Amerika di Qatar bukan saja untuk mempertahankan negara itu tetapi juga boleh mengancam keselamatan Iran. Sememangnya matlamat Amerika adalah melindungi kepentingan minyaknya di Teluk Parsi. Tetapi untuk itu ia perlu mengancam keselamatan Iran.

Semua itu adalah tanda bahawa Iran dan Amerika hendak  mengurangkan ketegangan di antara kedua negara, selanjutnya mengelak Perang Dunia Ketiga. 

Bagi Iran kelihatannya, perang dengan Amerika terhenti setakat itu tetapi perang dengan Israel masih berterusan.

Matlamat akhir Israel ialah meruntuhkan Republik Islam. Ia mahu Iran menjadi seperti Iraq, Syria, Jordan, Mesir dan Libya, iaitu sebagai negara yang tidak mengancam Israel. Lebih baik lagi jika Iran dapat dikembalikan kepada monarki seperti zaman Shah Reza Pahlavi yang mesra dengan Amerika dan mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Israel mahukan seorang raja yang memerintah Iran seperti monarki di Jordan, Arab Saudi, Qatar, Kuwait, Bahrain, Emiriah dan Oman yang tidak mengancam Israel, dan membenarkan rejim Tel Aviv menjalankan proses pembunuh ke atas penduduk di Gaza dan Tebing Barat.

Untuk itu mereka sudah menyiapkan anak pada Shah Iran, yang juga bernama sama, Reza Pahlavi akan ditabalkan sebagai raja. Reza yang kini tinggal di California telah menyatakan kesediaannya dan juga akan menyokong Israel.

Berubah kerana Gaza

Banyak pihak di dunia termasuk di Amerika dan Eropah yang selama ini tidaklah menyokong Iran kini berubah kerana soal Gaza. Apabila melihat bagaimana Gaza diperlakukan oleh Israel, maka mereka menyorak dan memberi sokongan kepada serangan Iran ke atas Israel. Imej bangunan hancur di Tel Aviv dan Haifa yang seperti Gaza mendatangkan kepuasan bahawa Iran telah membalas perbuatan Israel terhadap Gaza.

Tetapi apa yang dialami oleh penduduk Gaza lebih teruk. Dalam pada Israel diserang, tentera mereka tetap menyerang dan membunuh penduduk Gaza. Bantuan makanan mereka disekat hingga berlaku kelaparan dan kebuluran.

Apa yang dapat difahami secara langsung ialah kekejaman tentera Istael hanya dapat dibendung dengan kekuatan persenjataan. Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan Hamas tidak mempunyai kekuatan melawan Israel. Begitu juga negara-negara Arab di sekelilingnya, baik Mesir, Jordan, Arab Saudi, Syria dan Lubnan tidak mempunyai kekuatan tentera. 

Kekuatan persenjataan Iran bukan saja mengejutkan Israel, Amerika dan dunia. Strategi Iran bukankah semata-mata membangun fasiliti senjata nuklear tetapi juga membina peluru-peluru berpandu canggih yang boleh menembus Kubah Besi (Iron Dome) Israel. Negara itu perlu menjadi sasaran kepada Iran kerana Israel berulang kali menyerang Iran untuk membunuh komander tentera dan saintis serta orang awam yang berada di sekitarnya.

Dengan serangan Amerika yang merentas benua–dari pangkalan tentera Missouri, Amerika melalui beberapa ruang udara negara Eropah untuk sampai ke Iran–maka Teheran perlu meningkatkan kemampuan ketenteraan supaya peluru berpandu boleh sampai ke Amerika.

Maknanya mereka perlukan Peluru Berpandu Balistik Antara Benua (ICBM). Maka apabila Amerika menyerang fasiliti nuklear Iran, Teheran boleh melancar ICBM ke Colorado, Amerika yang menempatkan fasiliti nuklear mereka.

Tetapi buat masa walaupun Iran tidak dapat meruntuhkan rejim Tel Aviv, sekurang-kurangnya ia dapat memusnahkan fasiliti nuklear Israel di Dimona.

Buat masa ini, banyak penduduk Israel yang memiliki dua pasport meninggalkan negara itu. Dengan menggunakan bot dan kapal mereka ke Cyrpus, Greece dan negara Eropah yang lain. Malah Cyprus disebut sebagai Israel 2.0 kerana banyak tanah dibeli oleh warga Israel hinggakan menimbulkan bantahan parti pembangkang, parti komunis iaitu Parti Progresif bagi Rakyat Bekerja (Akel) yang mempunyai wakil di parlimen.

Pulau Cyprus terbahagi dua. Di sebelah utara ialah Republik Turki Cyprus Utara yang merdeka tetapi hanya diiktiraf oleh Turki. Di situ penduduk utamanya adalah orang Turki sementara di Cyprus selatan didiami oleh orang Greek dan terdapat pangkalan tentera British. Keseluruhan pulau Cyprus adalah bekas tanah jajahan British dan sebelum itu ia berada di bawah pemerintahan Uthmaniah.

Sementara itu, ada pihak yang sememangnya mahukan Perang Dunia  supaya perang ini boleh menyusun semula dunia, menamatkan hegemoni dan dominasi Amerika. Namun begitu, Perang Dunia Ketiga bukan hanya mendatangkan banyak kematian dan kemusnahan tetapi malah boleh menghancurkan kemanusiaan dan planet bumi jika senjata-senjata nuklear digunakan.


ZIN MAHMUD wartawan veteran.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen