Majlis Peguam Malaysia menyuarakan kebimbangan serius berhubung dakwaan bahawa seorang hakim telah disoal oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) berkaitan kemungkinan berlakunya campur tangan dalam urusan kehakiman.
Dalam satu kenyataan, presidennya, Ezri Abdul Wahab berkata pihaknya akan mengambil langkah perlu untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi memperolehi minit mesyuarat JAC yang diadakan pada 16 Mei lalu.

Tegasnya, jika dakwaan tersebut didapati benar, ia menimbulkan persoalan besar terhadap integriti dan kebebasan badan kehakiman — sebuah institusi yang mesti kekal bebas daripada sebarang bentuk pengaruh atau manipulasi.
“Majlis Peguam berpandangan bahawa dakwaan campur tangan kehakiman bukan sekadar isu tatatertib semata-mata.
“Ia menyentuh langsung keyakinan awam terhadap pentadbiran keadilan,” katanya.
Ezri berkata isu ini bukan sahaja melibatkan kesesuaian tindakan, tetapi juga integriti struktur dan kebebasan institusi kehakiman.
“Sehubungan itu, demi akauntabiliti dan ketelusan kepada awam, Majlis Peguam akan mengambil langkah mendapatkan perintah untuk memperoleh minit mesyuarat JAC berkenaan.
“Ini penting bagi memastikan fakta sebenar dapat dikenal pasti, demi memelihara integriti institusi dan memastikan langkah pembetulan yang wajar boleh diambil tanpa menjejaskan undang-undang,” tambahnya.

Menegaskan bahawa kebebasan kehakiman adalah prinsip yang tidak boleh dikompromi, Ezri menyatakan ia merupakan jaminan perlembagaan dan tiang seri sistem demokrasi.
“Sebarang tindakan — sama ada yang berlaku atau hanya disangka — yang menggugat prinsip ini mesti ditangani segera dan dengan ketelusan sepenuhnya.
“Jika laporan itu tidak benar, penjelasan juga mesti dibuat dengan segera bagi mengelakkan kerosakan tidak wajar terhadap reputasi badan kehakiman kita.
“Majlis Peguam menyeru semua institusi terlibat untuk menangani perkara ini dengan serius. Kami tegaskan komitmen kami terhadap kedaulatan undang-undang dan perlindungan kebebasan kehakiman tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya lagi.
Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa satu laporan polis yang dibuat bagi pihak seorang hakim kanan — susulan pertanyaan oleh portal berita itu — telah dibocorkan.
Laporan polis dibuat selepas Malaysiakini menghubungi hakim berkenaan pada 12 Jun bagi mendapatkan komen berhubung beberapa dakwaan yang dikatakan dibangkitkan dalam mesyuarat JAC.
Hakim itu tidak memberi sebarang maklum balas, sebaliknya mengarahkan pegawainya membuat laporan polis pada hari yang sama.
Susulan itu, Unit Jenayah Terkelas Bukit Aman telah mengambil keterangan daripada editor eksekutif Malaysiakini, RK Anand dan editor berita, Zikri Kamarulzaman.
Laporan polis berkenaan kemudiannya dibocorkan menerusi WhatsApp dan kini tersebar dalam kalangan pengamal undang-undang.
Awal hari ini, Sekretariat Pertahan Kebebasan Badan Kehakiman menggesa hakim kanan terbabit menarik diri daripada mendengar sebarang kes.

