malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MP Bangi kecam menantu Hadi cuba main sentimen kaum
Diterbitkan:  Jun 25, 2025 3:08 PM
Dikemaskini: 7:50 AM
ADS

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, mengecam seorang pemimpin PAS peringkat akar umbi yang berprofil tinggi apabila memainkan naratif perkauman dan dilihat cuba mewujudkan perpecahan dalam kalangan rakyat.

Kata Syahredzan tidak wajar seseorang mempertikaikan kenaikan pangkat pegawai tentera bukan Melayu dalam pasukan keselamatan negara.

Sepatutnya kata ahli parlimen dengan latar belakang undang-undang itu, orang ramai berasa bangga dengan pengiktirafan itu kerana setidak-tidaknya ia mencerminkan perpaduan dan nilai kepelbagaian dalam negara ini.

“Apa salahnya seorang yang berbangsa Cina dinaikkan pangkat ke leftenan jeneral dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM)?

“Bukankah dia juga anak Malaysia?” soal Syahredzan dalam satu hantaran Facebook malam tadi.

Sebelum itu Syahredzan membangkitkan persoalan terhadap motif Yang Dipertua PAS Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad, yang kononnya menulis laporan berita pada masa hadapan mengenai suatu sejarah terlakar di negara ini.

Zaharuddin - yang juga menantu Presiden PAS, Abdul Hadi Awang - memberi bayangan tentang seorang individu berbangsa Cina dari "Kampung Sungai Baru" dilantik menjadi perdana menteri ke-50 Malaysia.

Tak harus diberi ruang

Dia juga memberi gambaran kononnya tokoh terbabit dilahirkan oleh pasangan warga asing yang mendapat kerakyatan negara ini melalui program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan "membeli kondo di situ 23 tahun yang lalu."

MM2H ialah program yang membolehkan warga asing menetap di Malaysia sebagai rumah kedua mereka dengan syarat memenuhi keperluan undang-undang yang ditetapkan.

Peserta MM2H diberi kebenaran untuk tinggal di negara ini bagi tempoh sehingga 10 tahun dan terbuka kepada pembaharuan.

"Tidak mustahil berita ini akan keluar dan jadi nutral 30 40 tahun akan datang," kata Zaharuddin.

Zaharuddin Muhammad

Dia kemudian mengiringi hantaran tersebut dengan tangkap layar laporan berita mengenai penganugerahan pangkat leftenan jeneral kepada Komandan Maktab Ketahanan Nasional, Mejar Jeneral Johnny Lim Eng Seng.

Menurut Angkatan Tentera Malaysia, Lim - anak kelahiran Melaka - merupakan pegawai bukan Melayu yang pertama diberikan pangkat berkenaan. Majlis penganugerahan itu disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera Jeneral Mohd Nizam Jaffar kelmarin.

Bagaimanapun Zaharuddin mendakwa gambar yang dilampirkannya itu sekadar hiasan.

Johnny Lim Eng Seng

Menurut Syahredzan, cubaan menimbulkan polemik perkauman seperti dilakukan Zaharuddin itu hanya akan memecah-belahkan orang ramai.

"Saya tidak tahu sama ada Ustaz Zaharuddin masih ada jawatan dalam PAS (atau tidak), namun semua pihak harus mengecam sekeras-kerasnya kenyataan ini.

"Politik dan polemik seperti ini tidak harus diberi ruang dalam Malaysia yang kita cintai," katanya.

Bagaimanapun semakan Malaysiakini pada petang ini mendapati hantaran Zaharuddin mungkin sudah dipadam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen