Jawatankuasa Eksekutif Pengurusan Parti Muda akan mengadakan mesyuarat khas malam ini bagi membincangkan kedudukan bekas presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz berkata ia susulan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang membebaskan Syed Saddiq daripada semua pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram hari ini.
“Kami daripada keluarga Muda pada malam ini kita akan mengadakan satu mesyuarat penting, mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pengurusan Muda untuk membincangkan jalan ke hadapan parti Muda dan juga kedudukan YB Syed Saddiq dalam parti.
“Apa-apa akan kami kongsikan nanti dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media di Istana Kehakiman, Putrajaya, hari ini.
Syed Saddiq meletakkan jawatan sebagai presiden Muda pada Nov 2023 susulan pertuduhan di mahkamah terhadapnya.
Dia bagaimanapun hari ini bebas daripada empat pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna dana, dan pengubahan wang haram selepas Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkannya pada 2023.
Dalam sidang media sejurus selepas keputusan diumumkan, Amira yang juga rakan karib Syed Saddiq berkata dia berdiri teguh bersama Syed Saddiq sejak hari pertama pertuduhan dikenakan pada 2020.
“Kami memang cukup bersyukur dengan keputusan hari ini. Sejak awal tahun 2020, sewaktu Syed Saddiq mula melalui perjalanan ini, saya berada bersamanya sebagai sahabat dan juga sebagai rakan dalam parti politik,” katanya.
Amira berkata kepercayaan terhadap integriti dan kejujuran Syed Saddiq menjadi sebab utama dia bersedia menjadi penjamin dalam kes tersebut.
“Saya telah meletakkan nama saya sebagai penjamin Syed Saddiq kerana saya percaya 100 peratus terhadap keabsahan dan integritinya dalam kes ini. Hari ini membuktikan bahawa Syed Saddiq adalah seorang yang jujur dan berpegang teguh kepada prinsip keadilan, lebih-lebih lagi apabila kita berbicara tentang politik,” katanya.
Sementara itu, dalam respon awal Syed Saddiq berkata dia menyerahkan segala keputusan kepada parti Muda.
Bagaimanapun katanya buat masa ini dia memilih untuk meluangkan masa bersama keluarga terlebih dahulu.
“Sebarang keputusan parti akan dibuat bersama-sama sebagai satu pasukan. Buat masa ini berikan saya sedikit masa untuk luangkan dengan keluarga dan orang sekeliling saya sebab lima tahun ini sangat panjang,” katanya ringkas.

