malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Syed Saddiq bersyukur akhirnya dapat bersihkan nama
ADS

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini melepas dan membebaskannya atas empat pertuduhan membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) merupakan satu kemenangan besar buatnya.

Dalam sidang media penuh emosi di pekarangan Istana Kehakiman, Syed Saddiq melahirkan rasa syukur terhadap keputusan panel hakim yang telah membersihkan namanya setelah lima tahun prosiding berlangsung.

"Sejujurnya saya berharap bahawa apa saya lalui tidak akan dilalui mana-mana musuh politik saya. I wouldn't wish this even on my worst enemy, saya tidak berdendam pada masa depan.

"Saya perlu ucapkan terima kasih kepada barisan peguam, ini bukan setakat memenangi kes di mahkamah tetapi dari awal berada di pihak yang benar,"katanya di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan hari ini melepas dan membebaskan bekas menteri belia dan sukan itu daripada sabitan dan hukuman kerana bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta serta pengubahan wang haram membabitkan dana sayap pemuda Bersatu.

Keputusan diputuskan panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diperngerusikan Ahmad Zaidi Ibrahim bersama Azman Abdullah dan Noorin Badaruddin.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata perjalanan lima tahun terbabit disifatkan sebagai sangat mencabar buat dirinya dan keluarga.

“Lima tahun lalu sangat sukar. Saya ingat semula detik ibu ayah saya disoal siasat, sedangkan ibu ketika itu sedang melawan kanser yang telah berulang.

“Saya juga menolak pelbagai tawaran demi membersihkan nama saya di mahkamah, kerana saya percaya institusi kehakiman ialah benteng terakhir untuk rakyat yang teraniaya,” katanya.

Syed Saddiq berkata dia kekal mempertahankan integriti dan mengulangi komitmennya untuk terus mengabdikan diri kepada rakyat dan negara.

“Saya tidak menyesal langsung memilih jalan ini. Saya akan terus berkhidmat demi Malaysia yang saya sayangi melebihi hidup saya sendiri,” tegasnya.

Sementara itu, peguam yang mewakili Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Hisyam Teh Poh Teik turut menzahirkan penghargaan kepada panel hakim Mahkamah Rayuan dalam keputusan melepaskan dan membebaskan anak guamnya hari ini.

Jelasnya, keputusan itu membuktikan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap anak guamnya.

"Pertama, tiada prima facie terhadap kes ini, kedua Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi tidak menghargai pembelaan yang dikemukakan oleh YB (Syed Sddiq), namun Mahkamah Rayuan telah menerima dan menghargai hujahan yang dikemukakan oleh pihak kami," katanya.

Tambahnya, keputusan Mahkamah Rayuan juga mendedahkan tiada bukti niat tidak jujur oleh anak guamnya seperti didakwa.

"Pertuduhan pertama, mahkamah memaklumkan bahawa tiada bukti niat tidak jujur oleh anak guam kami terhadap wang RM1 juta yang sebenarnya untuk kegunaan program parti politik. Malah tiada satu sen pun masuk ke poket anak guam kami.

"Pertuduhan kedua pula membuktikan wang terbabit adalah milik anak guam kami dan bukannya sesiapa. Jadi tiada isu penyelewengan jenayah. Disebabkan pertuduhan kedua gagal, maka pertuduhan berkaitan juga tidak boleh diteruskan," katanya dalam sidang media di Istana Kehakiman Putrajaya.

Sebelum ini, Syed Saddiq memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan berkenaan.

Dia didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali, dalam kes pecah amanah membabitkan RM1 juta dana Pemuda Bersatu. Kesalahan itu didakwa berlaku di CIMB Bank, KL Sentral pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan.

Bekas menteri itu juga didakwa menyalahgunakan wang RM120,000 daripada akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise bagi kepentingan diri, antara 8 hingga 21 April 2018, di sebuah bank di Taman Pandan Jaya, Kuala Lumpur. Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Selain itu, Syed Saddiq menghadapi dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan pemindahan RM100,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, pada 16 dan 19 Jun 2018 di Johor Bahru. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen