SPRM membuat beberapa permohonan bagi melucut hak beberapa harta milik Allahyarham Daim Zainuddin dan isteri serta proksi mereka termasuk Menara Ilham.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, permohonan itu dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
"Kita akan melakukan proses (pelucutan hak) hari ini dan saya katakan, ia bukan melalui proses yang mudah kerana banyak perkara yang perlu dilakukan.
“Malah dokumen (berkaitan Menara Ilham) juga tebal," katanya pada sidang media bulanan SPRM, di Putrajaya hari ini.

Katanya, beberapa lagi aset Daim akan juga melalui proses sama dalam tempoh terdekat.
Awal bulan ini, Menara Ilham disita sekali lagi oleh SPRM selepas agensi penguat kuasaan itu mendapat kebenaran daripada Timbalan Pendakwa Raya.
Selain itu menurut Azam, pihak berkuasa United Kingdom juga bersetuju dengan permohonan SPRM untuk melucuthak aset dan harta bernilai kira-kira RM700 juta milik keluarga Daim dan proksi.
"Susulan itu kita turut memaklumkan kepada pihak berkuasa UK dan semalam, kita mendapat makluman, mereka juga memfailkan perintah itu di UK.
"Ia menjadi perkembangan baharu di mana mereka bersetuju dengan permohonan (restraining order) SPRM dan kes ini akan diteruskan pula di mahkamah UK," katanya.
Pada 23 Jun lalu, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur membenarkan permohonan Na'imah untuk menggantung sementara perintah pembekuan aset milik beliau dan keluarganya yang bernilai GBP132 juta di London oleh SPRM.
Aset terbabit ialah dua bangunan komersial di St Mary Axe (atas) dan One Crown Court, tiga kediaman mewah di Bryanston Square, Bryanston Mews dan Lancaster Gate serta dua unit di Gloucester Place dan satu akaun bank CAF Bank Limited (UK) yang didakwa milik The Ilham Foundation.
Hakim Azhar Abdul Hamid membuat keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan isteri Daim yang diwakili peguam Gurdial Singh Nijar.
Mahkamah kemudian menetapkan 9 Julai ini bagi mendengar permohonan Na'imah untuk menjadi pencelah dalam permohonan pembekuan aset terbabit.
Pada 3 Jun lalu, mahkamah berkenaan membenarkan permohonan SPRM secara ex parte untuk membekukan aset terbabit mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

