Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, daripada semua sabitan dan hukuman melibatkan empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Ahmad Zaidi Ibrahim, bersama Hakim Azman Abdullah dan Noorin Badaruddin.
Mahkamah menerima rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023 yang mensabitkannya dengan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, serta denda RM10 juta.
Ketika membacakan alasan penghakiman lebih sejam, Noorin berkata, pertuduhan bersubahat pecah amanah yang dihadapi oleh Syed Saddiq adalah tidak berasas.
Noorin berkata, pendakwaan gagal membuktikan niat tidak jujur Syed Saddiq ketika memberikan arahan supaya wang RM1 juta dikeluarkan dari dana Armada.
“Dakwaan ketidakjujuran Syed Saddiq yang membawa kepada keuntungan secara salah (wrongful gain) kepadanya atau kerugian secara salah (wrongful lost) pada pihak Armada, tidak dapat dibuktikan.
“Hakim Mahkamah Tinggi gagal menilai keseluruhan keterangan yang dikemukakan dan ia membawa kepada kekhilafan ketika mencapai keputusan mensabit dan menghukum Syed Saddiq. Ini memerlukan campur tangan mahkamah,” kata Noorin.
Hakim Noorin turut menyatakan, pendakwaan gagal menunjukkan bukti kredibel bagi menyokong pertuduhan menyalahgunakan wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Bhd milik Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE).
Katanya, tiada bukti yang menghubungkan kes pendakwaan bahawa wang RM120,000 yang dikeluarkan itu, milik ABBE atau Syed Saddiq.
Oleh yang demikian, katanya, tiada bukti bahawa Syed Saddiq menyalahgunakan wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Bhd ABBE.
Panel hakim turut mendapati, oleh kerana mahkamah tidak boleh bergantung kepada pertuduhan salah guna wang RM120,000, maka pertuduhan pengubahan wang haram juga tidak dapat dipertahankan.
Sebelum ini, Syed Saddiq memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan berkenaan.
Dia didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali, dalam kes pecah amanah membabitkan RM1 juta dana Pemuda Bersatu. Kesalahan itu didakwa berlaku di CIMB Bank, KL Sentral pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan.
Bekas menteri itu juga didakwa menyalahgunakan wang RM120,000 daripada akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise bagi kepentingan diri, antara 8 hingga 21 April 2018, di sebuah bank di Taman Pandan Jaya, Kuala Lumpur. Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.
Selain itu, Syed Saddiq menghadapi dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan pemindahan RM100,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, pada 16 dan 19 Jun 2018 di Johor Bahru. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001.

