malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda DAP kecam polis isu penahanan mahasiswa
Diterbitkan:  Jun 24, 2025 8:50 PM
Dikemaskini: 12:50 PM
ADS

Pemuda DAP menyelar polis kerana menahan tiga mahasiswa yang menyertai himpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 yang disifatkan bercanggah dengan arahan dan semangat yang telah dizahirkan oleh pimpinan tertinggi kerajaan.

Setiausaha Pemuda DAP Louis Lim dan ketua biro dasar awamnya Jason Ng dalam satu kenyataan hari ini menyorot bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim, telah menyatakan secara jelas bahawa pelajar-pelajar berkenaan tidak sepatutnya dibuang universiti.

“Malangnya, tindakan pihak polis untuk menahan mahasiswa yang bersuara secara aman dilihat bercanggah dengan arahan dan semangat yang telah dizahirkan oleh pimpinan tertinggi kerajaan.

"Jika suara mahasiswa pun diperlakukan sebegitu rupa, apakah lagi ruang yang tinggal untuk demokrasi di negara ini?" kata mereka.

Awal hari ini, polis mengesahkan tangkapan itu dan berkata pelajar berkenaan disiasat di bawah Akta Hasutan.

Dua daripada mereka, penyelaras Gempur Rasuah Sabah 2.0 Fadhil Kasim dan Aliff Danial Badrul Akmal Hisham, terlibat dalam aksi membakar karikatur Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa perhimpunan itu.

Pelajar ketiga, Sabir Syarafuddin ditahan walaupun tidak menyertai aksi berkenaan.

Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abdul Kadir kemudian menyebut Anwar tidak mahu Universiti Malaysia Sabah (UMS) membuang pelajar yang terlibat dalam pembakaran karikatur.

Kata Zambry, Anwar mengingatkan bahawa meski pelajar berkenaan membuat kesilapan, masa depan dan pendidikan mereka jauh lebih penting dan harus diutamakan.

Mengecam penahanan itu, Pemuda DAP membantah penggunaan Akta Hasutan untuk menyiasat mahasiswa berkenaan.

Mereka menegaskan bahawa undang-undang itu kuno dan penahanan itu telah menjejaskan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang menjunjung hak asasi manusia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen