Penganjur perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 hari ini menyelar polis kerana mendakwa tiga aktivis pelajar ditahan pihak berkuasa berhubung protes yang berlangsung di Kota Kinabalu itu.
Dalam satu kenyataan, kumpulan Suara Mahasiswa UMS mendakwa polis memanggil ketiga-tiga mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu berhubung laporan bahawa salah seorang daripada mereka membuat serangan asid yang menyaksikan beberapa kereta rosak semasa perhimpunan pada Ahad lalu.
Bagaimanapun, kumpulan itu mendakwa, tiga aktivis berkenaan bertemu dengan ramai anggota polis yang kemudian bertindak agresif, meninggikan suara serta menyentuh badan mereka.
“Suara Mahasiswa UMS mengecam penahanan ini dan tindakan agresif pihak berkuasa terhadap mereka.
"Ini sangat mencabuli nama baik Polis Diraja Malaysia yang sepatutnya berkhidmat untuk rakyat," kata pergerakan itu.
Kumpulan itu kemudian menganggap keputusan polis untuk menggunakan Akta Hasutan dalam siasatan mereka terhadap ketiga-tiga aktivis berkenaan sebagai suatu penindasan dan kemunafikan.
"Akta Hasutan merupakan perjuangan panjang dilakukan oleh Anwar Ibrahim (iaitu) sejak zaman reformasi.
"Namun hari ini akta berkenaan digunakan pada zaman pemerintahannya untuk membungkam suara-suara berani rakyat melawan rasuah," katanya.
Ekoran apa yang berlaku itu, Suara Mahasiswa UMS berkata, mereka melancarkan kempen untuk menunjukkan tanda kebersamaan dengan tiga aktivis yang ditahan polis.
"Dengan ini Suara Mahasiswa UMS melancarkan kempen solidariti #Sabah3 sebagai tanda solidariti dan tekanan terhadap tiga aktivis yang ditahan," katanya.
Awal hari ini, polis dilaporkan menahan Fadhil Kasim, Aliff Danial Badrul Akmal Hisham, dan Sabir Syarafuddin berhubung perhimpunan antirasuah berkenaan.
Fadhil dan Kasim membakar poster karikatur yang memaparkan wajar Anwar, manakala Sabir tidak terlibat.
Ketua Polis Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda, berkata polis sedang menyiasat tiga mahasiswa terbabit, antara lain mengikut Akta Hasutan.

