Ahli Parlimen PKR, R Yuneswaran menggesa para pengkritik agar bersikap adil dalam penilaian mereka, dengan menekankan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim secara konsisten mempertahankan hak untuk berhimpun secara aman, menyatakan sindiran, serta menyokong aktivisme pelajar.
Dia berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir, baru-baru ini yang memaklumkan bahawa Anwar menolak keputusan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk membuang pelajar yang terlibat dalam tindakan membakar karikatur perdana menteri. Zambry berkata perdana menteri percaya bahawa pendidikan dan masa depan pelajar perlu diutamakan.

“Ini sejajar dengan pendirian yang jelas dan konsisten perdana menteri dalam mempertahankan hak berhimpun secara aman, sindiran, dan aktivisme pelajar, memandangkan beliau sendiri pernah menjadi pemimpin mahasiswa yang ditahan di bawah ISA selama dua tahun pada tahun 1974 ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi menteri pendidikan,” kata Yuneswaran dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Segamat itu menolak dakwaan bahawa pendirian Anwar bersifat terpilih, dan menegaskan bahawa perdana menteri sentiasa lantang dalam isu-isu berkaitan.
Dia turut memetik tindakan Anwar awal bulan ini yang mengarahkan polis meneliti semula dakwaan larangan perjalanan terhadap pelukis satira politik, Fahmi Reza.

“Anwar juga mempertahankan hak Fahmi untuk menyatakan sindiran, apabila beliau pada Disember lalu menyatakan bahawa beliau tidak percaya Fahmi patut didakwa atas karya seni kontroversi yang menyindir kes rasuah terdahulu melibatkan bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman, yang telah dilepaskan pada tahun 2020.”
Yuneswaran turut menambah bahawa pada Februari lalu, Anwar mengumumkan bahawa Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) akan dipinda bagi menyokong mereka yang mahu menganjurkan perhimpunan aman.
“Semua ini mencerminkan komitmen perdana menteri terhadap keterbukaan dan semangat reformasi, dan saya berharap para pengkritiknya akan berlaku adil dalam membuat kenyataan berhubung perkara ini,” katanya.
Pada Ahad lalu, para penunjuk perasaan pelajar di Sabah menamatkan protes selama 22 jam terhadap isu rasuah dengan membakar poster bergambar Anwar yang mengandungi tulisan “Madani pelindung perasuah Sabah”.

Jurucakap Sekretariat Rakyat Benci Rasuah, Fadhil Kasim berkata kain rentang itu melambangkan kritikan tajam terhadap pentadbiran Anwar yang menurut kumpulan itu telah gagal menunaikan janji berkaitan reformasi institusi.
Susulan protes dan pembakaran poster berkenaan, polis telah menahan tiga aktivis pelajar di bawah Akta Hasutan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Kasim Muda berkata, ketiga-tiga individu itu dikenalpasti sebagai penyelaras Gempur Rasuah Sabah 2.0 iaitu Fadhil Kasim, Aliff Danial Badrul Akmal Hisham, serta Sabir Syarafuddin.

