Seorang aktivis Orang Asli hari ini menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap seorang pengguna Facebook kerana menghina masyarakat Orang Asli dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ramli Nor.
Gesaan itu dibuat selepas seorang netizen, yang dipercayai penyokong sebuah parti politik, melabelkan Ramli sebagai “sakai” dan mendakwa keupayaan mentalnya “seperti Tarzan”.
Menurut aktivis berkenaan, Chew Ho Beng, komen itu ditinggalkan di bawah satu hantaran Facebook oleh Ketua Penerangan Pemuda MIC, Navinn Rajendran, yang menyentuh pertikaian berkaitan pertandingan bola sepak Orang Asli yang diadakan di Tapah bulan lalu.
Katanya, piala kejohanan itu dinamakan sempena nama Ramli kerana dia adalah penaja utama acara tersebut.
Ramli juga merupakan tetamu kehormat yang dijemput untuk menyampaikan hadiah dalam acara itu dan bukannya ahli Parlimen Tapah merangkap Timbalan Presiden MIC, M Saravanan.

“Video yang dimuat naik oleh Navinn itu berkaitan penganjuran kejohanan bola sepak oleh Persatuan Kebajikan Orang Asli Semai dan Temiar Perak Tengah, di mana seorang individu meluahkan rasa tidak puas hati kerana penganjur tidak menjemput Ahli Parlimen Tapah, memandangkan acara itu berlangsung di Tapah.
“Sebagai penyelaras kejohanan tersebut, saya boleh terima jika mereka mahu salahkan kami kerana tidak menjemput Saravanan kerana itu memang kecuaian di pihak kami. Ia bukan salah Ramli.
“Saya juga telah menjelaskan perkara ini kepada Ketua Bahagian MIC Tapah dan memaklumkan bahawa program ini melibatkan 64 pasukan bola sepak Orang Asli dari seluruh negara, jadi tiada isu pada waktu itu.
“Tetapi apabila komen yang menyentuh salah satu isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja) dibuat, ia telah menyinggung perasaan komuniti Orang Asli,” kata Chew, yang juga dikenali sebagai Angah, kepada Malaysiakini.
Aktivis itu mendakwa video dan komen tersebut telah dipadamkan dari Facebook, tetapi mereka sempat mengambil beberapa tangkap layar.
Antara tangkap layar menunjukkan komen berbunyi: “Bro ini orang Sakai Mestilah Akal dia pun mcm orang Tarzan”.
Semakan mendapati pengguna terbabit turut memuat naik banyak gambar dan video pemimpin MIC di akaun Facebook miliknya. Namun, tidak dapat dipastikan sama ada dia merupakan ahli parti berkenaan.
Berikutan itu, seorang anggota masyarakat Orang Asli telah membuat laporan polis di Tapah semalam.

Ketua Polis Perak, Noor Hisam Nordin ketika dihubungi mengesahkan siasatan telah dibuka berhubung insiden itu.
“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.
Seksyen 504 memperuntukkan hukuman bagi kesalahan menghina dengan sengaja dengan niat untuk mencetuskan gangguan ketenteraman awam. Ia membawa hukuman penjara tidak melebihi dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya.
Malaysiakini telah menghubungi Saravanan untuk mendapatkan ulasannya.
‘Bukan kali pertama’
Sementara itu, Ramli dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini menggesa semua pihak berhati-hati dalam membuat sebarang komen agar tidak mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Katanya, perkataan “sakai” sangat sensitif bagi masyarakat Orang Asli, khususnya suku kaum Semai, kerana perkataan itu membawa maksud “orang bawahan ataupun dengan erti kata mudahnya ialah hamba abdi”.

“Saya ingin tekankan kepada seluruh masyarakat di negara ini agar tidak memuat naik kenyataan jelik berunsur penghinaan kepada masyarakat Orang Asli di negara ini.
“Hal seperti ini bukanlah pertama kali ia berlaku, jika dilihat sebelum-sebelum ini juga ada kes-kes penghinaan kepada masyarakat Orang Asli di negara ini,” katanya.

