malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Fadhlina jawab Rafizi - 'Semua dasar dah bincang dalam Jemaah Menteri'
Diterbitkan:  Jun 24, 2025 5:15 PM
Dikemaskini: 9:23 AM
ADS

Menteri Fadhlina Sidek mengulas kritikan rakan separtinya, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli yang mempertikai prestasi Kementerian Pendidikan.

Ketua Wanita PKR itu menegaskan bahawa keputusan dasar utama Kementerian Pendidikan telah dibincangkan dalam mesyuarat kabinet.

“Tidak ada satu pun kita terlepas daripada membentangkan soal-soal dasar utama (termasuk) reformasi-reformasi yang kita nak angkat di peringkat KPM.

“Jadi tidak timbul soal kita tidak melakukan apa-apa kerana semuanya dibincangkan dalam Jemaah Menteri,” katanya dipetik Free Malaysia Today, hari ini.

Jumaat lalu (21 Jun), ketika melancarkan podcast "Yang Berhenti Menteri", Rafizi mengarahkan pihak yang mengkritik peletakan jawatannya untuk mempersoalkan Fadhlina berhubung pencapaian menteri itu dalam Kementerian Pendidikan.

“Saya kadang-kadang rasa geram. Kementerian Ekonomi ditanya macam-macam. Pergilah tanya Kementerian Pendidikan – sudah dua tahun setengah. Mana kerangka dasar utama? Tiada apa pun,” kata Rafizi.

Rafizi berkata dia telah berjaya meneruskan beberapa inisiatif utama semasa menerajui Kementerian Ekonomi, di luar Rancangan Malaysia Ke-13 dan Akta Anti-Pencarian Sewa, lebih dikenali sebagai Akta Anti Ali Baba.

Peletakan jawatan Rafizi sebagai menteri ekonomi berlaku selepas dia tewas dalam usaha mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR kepada Nurul Izzah, anak kepada Perdana Menteri dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Sebelum pemilihan, Rafizi berikrar akan meletakkan jawatan daripada kabinet sekiranya gagal mempertahankan jawatannya.

Peletakan jawatannya diikuti oleh Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, yang meletak jawatan sebagai menteri sumber asli dan kelestarian alam sekitar selepas gagal mempertahankan jawatan ketua cabang dan naib presiden.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen