Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak mahu Universiti Malaysia Sabah (UMS) membuang para mahasiswa yang terlibat dalam insiden pembakaran karikaturnya pada hujung minggu lalu, kata Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir.
Menerusi hantaran ringkas di Facebook hari ini, Zambry menyampaikan pendirian Anwar berhubung perkara itu dan memaklumkan bahawa Anwar memberi penekanan tentang masa depan pelajar-pelajar yang terlibat.
“Perdana Menteri berpesan agar pelajar UMS yang terlibat dalam insiden baru-baru ini tidak dibuang universiti.
“Bagi Perdana Menteri, mereka mungkin membuat kesilapan tetapi masa depan dan pengajian mereka jauh lebih penting dan perlu diutamakan,” katanya.
Pada Ahad lalu, sekumpulan pelajar di Sabah menamatkan protes 22 jam berhubung gejala rasuah dengan membakar poster Anwar yang memaparkan tulisan “Madani pelindung perasuah Sabah”.

Jurucakap Sekretariat Rakyat Benci Rasuah, Fadhil Kasim berkata kain rentang tersebut melambangkan kritikan pedas terhadap pentadbiran Anwar, yang didakwa mereka sebagai gagal menunaikan janji berkaitan reformasi institusi.
Tindakan tersebut mengundang kecaman daripada pelbagai pihak, termasuk Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kamil Abdul Munim, yang berkata mereka membakar imej Anwar kerana tiada hujah yang kukuh.
Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad pula berpandangan tindakan itu berisiko menjejaskan perjuangan yang dibawa, dan menggesa agar tindakan dilakukan secara terhormat dan bukannya dengan “tindakan yang merosakkan maksud serta nilai perjuangan.
Membalas kritikan berkaitan pembakaran karikatur Anwar, Fadhil berkata dia mendapat inspirasi daripada protes mahasiswa yang pernah dipimpin Anwar sendiri, termasuk tindakan membakar buku mengenai rusuhan 13 Mei oleh Tunku Abdul Rahman.
Ketua Polis Sabah Jauteh Dikun semalam berkata siasatan sedang dijalankan mengikut Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan.

