malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
LFL: Bakar gambar pemimpin bentuk protes yang sah
Diterbitkan:  Jun 24, 2025 12:19 PM
Dikemaskini: 5:18 AM
ADS

Lawyers for Liberty (LFL) mempertahankan tindakan membakar karikatur Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa demonstrasi pelajar, dengan berhujah bahawa tindakan seumpama itu adalah bentuk protes demokratik yang sah dan tidak seharusnya didakwa sebagai jenayah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah LFL, Zaid Malek turut mengingatkan para pemimpin kerajaan – termasuk Anwar – tentang sejarah aktivisme mereka, termasuk ketika Anwar sendiri pernah membakar bahan berkaitan bekas perdana menteri Tunku Abdul Rahman.

“Amat ironik apabila mana-mana pihak dalam kerajaan ini merasakan mereka berada dalam kedudukan untuk menegur tindakan pelajar semasa himpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0.

“Apakah kita sudah lupa bahawa PM (Anwar) sendiri pernah mengetuai pembakaran buku tulisan Tunku Abdul Rahman pada tahun 1970-an, ketika beliau sendiri masih bergelar aktivis mahasiswa?

“Bagaimana pula dengan Adam Adli, timbalan menteri dalam kabinet kini, yang semasa menjadi aktivis pelajar menurunkan bendera bergambar Najib Razak di hadapan PWTC dan menggantikannya dengan kain rentang ‘Bebaskan Akademik’ pada tahun 2011?” soal Zaid.

Dia turut mengingatkan pihak berkuasa tentang tindakan serupa oleh Umno, yang kini sebahagian daripada kerajaan, apabila ahli sayap pemudanya membakar bendera Israel di Masjid Jamek pada tahun 2023 sebagai protes terhadap pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Gaza.

“Tindakan seperti ini diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai bentuk protes demokratik yang sah. Jadi mengapa pula pembakaran karikatur perdana menteri kini dianggap jenayah?

“Adakah Anwar kebal daripada kritikan? Atau wujud peraturan istimewa untuk beliau?” soal Zaid.

Dia turut kesal kerana kerajaan, para penyokongnya dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) memilih untuk memberi tumpuan kepada isu pembakaran karikatur Anwar, berbanding isu utama iaitu rasuah yang diketengahkan dalam himpunan tersebut.

Katanya, tindakan itu juga dilihat sebagai alasan mudah untuk mengalihkan perhatian daripada aduan sebenar – bahawa pentadbiran Madani pimpinan Anwar “memejam sebelah mata” terhadap isu rasuah di Sabah melibatkan sekutu politiknya.

“Sebaliknya, pelajar yang menuntut tindakan tegas terhadap rasuah pula kini disiasat – seolah-olah mereka penjenayah tegar.

“Malah pihak berkuasa menggunakan Akta Hasutan yang zalim terhadap mereka hanya kerana membakar karikatur tersebut,” katanya lagi.

“Kami ingatkan para pengampu dalam kalangan pemerintah, bahawa tanpa mengira pandangan peribadi mereka terhadap cara himpunan itu dijalankan, ia tidak menafikan hak perlembagaan para peserta untuk menyuarakan pandangan dan berhimpun secara aman.

“Hak ini dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, dan tidak boleh diketepikan hanya kerana segelintir penjilat menganggap tindakan itu biadab atau tidak matang,” kata Zaid.

Dia seterusnya berkata, sebenarnya yang tidak sah dan tidak berperlembagaan ialah tindakan mengugut peserta himpunan dengan tindakan tatatertib dan jenayah semata-mata kerana mereka menggunakan hak kebebasan bersuara.

Peserta himpunan Gempur Rasuah 2.0 sedang disiasat atas sembilan kesalahan berkaitan protes yang diadakan Sabtu lalu (21 Jun).

Menurut laporan Bernama yang memetik Ketua Polis Sabah, Jauteh Dikun, kesalahan itu termasuk hasutan, pembakaran terbuka di kawasan awam, memiliki bahan berbahaya atau menghakis semasa perhimpunan, serta menyentuh isu sensitif melibatkan raja, agama dan kaum (3R).

Siasatan dijalankan bukan sahaja di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, tetapi juga Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan.

Jauteh berkata penganjur telah menghantar notis pemakluman kepada polis seperti yang dikehendaki di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, dan polis telah memberikan 15 syarat berkaitan ketenteraman awam.

“Malangnya, dalam kes ini, penganjur gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Walaupun menyuarakan kebimbangan adalah hak mereka, ia harus dilakukan secara bertanggungjawab dan tanpa provokasi,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen