PKR cabang Kuala Terengganu membuat laporan polis ke atas akhbar Sinar Harian berhubung penerbitan infografik yang secara salah menyatakan bahawa ketua polis negara yang baru dilantik Mohd Khalid Ismail adalah ahli PKR.
Laporan itu dibuat oleh timbalan ketua cabangnya, Wan Ismail Wan Long di Balai Polis Kuala Terengganu pagi semalam.
"PKR Kuala Terengganu mendesak pihak polis agar membuka kertas siasatan terhadap Sinar Harian berkaitan fitnah jahat kepada ketua polis negara baru, Mohd Khalid Ismail yang mengaitkannya sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR dan pengerusi MPN Kedah.
"Bagi kami, empat elemen fitnah telah wujud dalam isu ini di mana pertama, Sinar Harian telah menerbitkan kenyataan fitnah. Kedua, kenyataan fitnah tersebut ditujukan kepada mangsa iaitu Khalid Ismail dan PKR itu sendiri.

"Ketiga, kenyataan fitnah tersebut dizahirkan kepada orang lain melalui Instagram Sinar Harian. Dan keempat, kenyataan fitnah tersebut telah dibuat dengan niat untuk membahayakan atau merosakkan reputasi ketua polis negara, PKR dan kerajaan itu sendiri," katanya dalam satu kenyataan media.
Sehubungan itu, Wan Ismail menggesa Sinar Harian dibawa ke muka pengadilan.
"Budaya memfitnah dahulu, minta maaf kemudian wajar dihapuskan dan tidak boleh dijadikan adat dalam masyarakat kita pada hari ini," katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian telah menggantung tugas kakitangan yang terlibat dalam penerbitan infografik yang secara salah menyatakan bahawa ketua polis negara yang baru dilantik Khalid Ismail adalah ahli PKR.
Akhbar harian berbahasa Melayu itu berkata mereka yang digantung tugas termasuk penyelia unit media sosial yang meluluskan maklumat grafik itu.
Infografik yang diterbitkan pada Jumaat lalu, menyenaraikan "anugerah" Khalid sebagai ahli jawatankuasa kepimpinan pusat PKR, pengerusi PKR Kedah, dan bekas ahli jawatankuasa Umno Sungai Petani.
Akhbar itu mengesahkan bahawa kesilapan berkenaan susulan penggunaan semula grafik pada profil Johari Abdul ketika dia dilantik sebagai speaker Dewan Rakyat.

