Bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein, sepatutnya tidak boleh mendapat layanan istimewa dan berbeza daripada orang lain dalam isu pemulihan keanggotaannya dalam parti tersebut.
Lebih daripada itu, menurut ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi, ahli politik terbabit juga tetap terikat dengan peraturan sedia ada, seperti mengemukakan rayuan kepada parti.
"Hishammuddin perlu dilayan sama seperti orang lain yang masih menunggu rayuan mereka diterima. Jangan ada pilih kasih.
"Hishammuddin juga masih terikat dengan peraturan parti seperti juga mereka yang lain. Tidak ada layanan istimewa.
"Antaranya dia mesti diberi nombor keahlian baru dan tidak boleh bertanding dalam tempoh tertentu," katanya kepada Malaysiakini.
Mohd Puad yang juga Adun Rengit di Johor menegaskan, kekuatan Umno bukan terletak pada mana-mana legasi, nama atau populariti seseorang sebaliknya ditentukan oleh kesetiaan serta kepatuhan terhadap keputusan parti.
"Setiakawan semasa susah dan senang juga penting. Parti tidak akan kukuh jika banyak game dalam parti," katanya lagi tanpa memberi penjelasan lebih lanjut.
Hishammuddin merupakan seorang daripada tokoh berprofil tinggi dalam Umno yang dikenakan tindakan disiplin oleh parti tersebut beberapa tahun lalu.
Selain pernah menjadi naib presiden, anak kepada perdana menteri ketiga Malaysia itu pernah menjawat pelbagai jawatan kanan termasuk menteri pertahanan.
Pujuk Hisham buat rayuan
Dia dikenakan tindakan penggantungan keahlian selama enam tahun selepas PRU ke-15 berlangsung. Bagaimanapun tiada penjelasan atau sebab dikemukakan oleh Umno berhubung tindakan disiplin berkenaan.
Selain Hishammuddin, turut dikenakan tindakan sama ialah bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang, Noh Omar, serta Timbalan Ketua Pemuda Umno Malaysia, Shahril Hamdan Suffian.
Noh kemudian menggesa agar Umno memecatnya. Dia kemudian menyertai PN.
Hishammuddin sebelum ini dilaporkan enggan mengemukakan rayuan atas alasan dia berasa yakin tidak melakukan sebarang kesalahan, selain tidak mengetahui punca penggantungannya.
Pada 21 Jun lalu pula, Umno Sembrong meluluskan usul - untuk kali kedua dalam tempoh dua tahun berturutan - menggesa parti menarik balik penggantungan terhadap Hishammuddin serta-merta dan tanpa syarat.
Mohd Puad berkata Umno tidak mempunyai masalah untuk menerima kembali Hishammuddin seperti apa yang berlaku sebelum ini, termauk melibatkan Tengku Razaleigh Hamzah dan Dr Mahathir Mohamad.

Justeru, katanya, adalah lebih elok jika Umno Sembrong memujuk Hishammuddin supaya mengemukakan rayuan sediri bagi membolehkan penggantungannya ditarik balik.
Sebaliknya, tambah Speaker DUN Johor itu lagi, tidak banyak yang dapat dilakukan Umno jika Hishammuddin sendiri tidak menunjukkan minat serta gagal memberikan komitmen membuat rayuan kepada parti.
"Pastinya Umno tidak ada masalah menerima balik Hishammuddin ke pangkuan Umno. Ia bukan perkara pelik.
“Ia berlaku kepada Tengku Razaleigh, Mahathir dan juga Muhammad Mohd Taib mantan Menteri Besar Selangor.
"Sebab itu lebih tepat jika Umno Sembrong berjumpa dan memujuk Hishammuddin supaya membuat rayuan agar penggantungan keahliannya dibatalkan," katanya lagi.

