malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dr M: Anwar mesti berkecuali dalam lantikan hakim
ADS

Perdana Menteri Anwar Ibrahim digesa mengumumkan dirinya mempunyai konflik kepentingan dan mengecualikan diri di dalam proses pemilihan hakim-hakim kanan.

Gesaan itu menjadi satu daripada enam resolusi dipersetujui sempena sidang meja bulat oleh Sekretariat Pertahan Sistem Kehakiman diketuai bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur, hari ini.

Sekretariat itu juga mengusulkan agar Anwar mengambil cuti rehat daripada jawatan perdana menteri sehingga kesnya di mahkamah selesai, merujuk kepada kes saman yang dikemukakan bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther.

“Ini kerana persepsi, atau kemungkinan, kacau ganggu dalam pentadbiran kehakiman akan wujud selagimana beliau memegang jawatan tersebut kerana kes peribadi yang sedang dihadapinya.

“Nama individu-individu yang disyorkan untuk menggalas tugas hakim-hakim kanan di Istana Kehakiman hendaklah berdasarkan kelayakan, integritl, senioriti dan bukan atas hubungan atau kecenderungan politik.

“Tidak harus wujud, atau persepsi wujudnya, situasi konflik kepentingan perdana menteri dalam pelantikan posisi-posisi tertinggi badan Kehakiman negara lebih-lebih lagi apabila wujud kes-kes di mahkamah yang melibatkan perdana menteri dalam kapasiti peribadinya,” kata sekretariat itu melalui kenyataan resolusi berkenaan.

Turut hadir persidangan itu Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dan bekas presiden Dewan Negara, Rais Yatim.

Sebelum ini media melaporkan sembilan daripada 14 hakim tertinggi dijadual bersara wajib tahun ini.

Mendahului senarai itu adalah Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat yang akan mencapai usia 66 tahun pada Julai ini.

Selain itu turut dilaporkan akan bersara Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Besar Malaya, Hasnah Mohammed Hashim.

Sementara itu resolusi tersebut turut menggesa pihak pembangkang berperanan di Dewan Rakyat bagi mendesak kerajaan membuat pindaan pada Perlembagaan Persekutuan dan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 agar perdana menteri tidak lagi terlibat dalam proses pelantikan hakim-hakim.

Malaysiakini pada Dis lalu memetik profesor undang-undang perlembagaan Universiti Malaya Shad Saleem Faruqi yang berpendapat bahawa ketua hakim negara harus menjadi orang yang menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai pelantikan kehakiman dan bukannya perdana menteri.

Dia turut mengesyorkan Akta JAC 2009 diletakkan di bawah Perlembagaan.

Namun, kata Shad, berdasarkan sistem ketika ini, perdana menteri tidak terikat dengan nasihat ketua hakim negara atau JAC mengenai nama-nama yang telah disenarai pendek untuk pelantikan hakim.

Jelasnya, meskipun terdapat banyak penambahbaikan yang dibawa oleh Akta JAC, perdana menteri mengekalkan kuasa mutlak untuk memilih nama-nama yang akan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dalam perkembangan itu, Mahathir berkata dia sendiri tidak pernah campur tangan dalam soal pelantikan hakim-hakim sepanjang menjadi perdana menteri.

“Itu yang saya lakukan, apabila nama diberikan oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) kepada saya, saya tak ada campur atau tukar nama.

“Ssiapa saja dipilih, saya sampaikan pada Yang di-Pertuan Agong.

“JAC dulu melalui perdana menteri, sampaikan kepada Agong.

“Kita bercadang perdana menteri tak patut terlibat dalam pelantikan pegawai-pegawai eksekutif termasuk hakim-hakim,” katanya.

Mahathir sering dikritik kerana didakwa mendalangi krisis kehakiman 1988, semasa menjadi perdana menteri.

Antara lain, krisis itu melibatkan pindaan kepada Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan pada 1988 yang pada asasnya menghapuskan kebebasan badan kehakiman dan menjadikan mahkamah diletakkan di bawah undang-undang persekutuan yang diluluskan oleh Parlimen.

Ia juga menyaksikan pemecatan kontroversi Salleh Abas sebagai Lord President (kini ketua hakim negara) dikatakan kerana suratnya kepada Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu yang menentang pindaan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen