malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda PKR Selayang masih sah, pertemuan khas menyusul
Diterbitkan:  Jun 23, 2025 5:40 PM
Dikemaskini: 9:40 AM
ADS

Di sebalik peletakan jawatan ahli jawatankuasa Pemuda PKR (AMK) Selayang, sayap parti bagi cadang itu di mata kepemimpinan pusat masih sah.

Setiausaha Pemuda PKR Pusat, Omar Mokhtar Manap, berkata pihaknya mengambil maklum perkembangan tersebut.

Dalam mesyuarat kali pertama sayap itu pada 19 Jun lalu, katanya, mereka melakukan semakan serta meneliti beberapa perkara yang dibangkitkan, namun mendapati terdapat percanggahan antara surat-surat yang dihantar.

Sehubungan itu, kata Omar Mokhtar, untuk bersikap adil kepada semua pihak dan bertindak di atas kerangka peraturan sedia ada, Pemuda PKR Pusat membuat ketetapan agar satu pertemuan khas bersama semua ahli Jawatankuasa Pemuda PKR Selayang akan diadakan dalam minggu ini.

Langkah itu, katanya, dibuat bagi mencari titik temu dalam isu yang dibangkitkan.

"Pemuda PKR juga menekankan bahawa Pemuda PKR Selayang masih berstatus sah, berjalan seperti biasa dan selari dengan kehendak Peraturan Angkatan Muda PKR," katanya dalam kenyataan hari ini.

Omar Mokhtar berkata demikian sebagai mengulas peletakan jawatan besar-besaran oleh Pemuda PKR Selayang yang didakwa boleh membawa kepada pembubaran sayap berkenaan di peringkat cabang.

Antara yang meletak jawatan itu ialah timbalan ketuanya, Muhammad Amir Sahmat; naib ketua, Lee Fook Onn; serta 12 daripada 15 ahli jawatankuasa yang tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan parti itu bulan lalu.

Tindakan itu mungkin cerminan kepada fenomena “badan tanpa kepala” dalam pemilihan PKR yang disentuh beberapa kali oleh Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramlim yang gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden.

Amir mengesahkan peletakan jawatan itu susulan dakwaan ketidaktelusan proses pemilihan yang menyaksikan kemenangan Ketua Pemuda Cabang Selayang Tamilarasu Thamil Kalai mengatasi Dinesh Selvarajoo.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh menolak dakwaan sayap Pemuda PKR Selayang dibubarkan.

Dipetik portal FMT, Fuziah berkata, jika sekurang-kurangnya dua per tiga - atau 18 daripada 26 - ahli jawatankuasa meletakkan jawatan barulah sayap itu dianggap terbubar.

"Jumlah ahli yang dipilih ialah 18, dan tambahan lapan boleh dilantik, menjadikan maksimum 26. Untuk memenuhi ambang dua per tiga, sekurang-kurangnya 18 ahli mesti meletakkan jawatan.

"Mula-mula 17 meletak jawatan, kemudian tiga menarik diri, diikuti seorang lagi. Angka terkini mereka yang meletak jawatan ialah 13," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen