malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Malayan Tigress buru momentum lepas benam UAE sekali lagi
Diterbitkan:  Jun 23, 2025 4:15 PM
Dikemaskini: 8:15 AM
ADS

Skuad bola sepak wanita kebangsaan meneruskan rentak cemerlang apabila mencatat kemenangan 2-0 ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi perlawanan antarabangsa tier 1 (tertutup) kedua yang berlangsung di Dubai, malam tadi.

Dua jaringan skuad kendalian Joel Cornelli itu hadir seawal babak pertama menerusi penyerang prolifik Nur Adrienna Zamzaihiri dan pemain tengah Farahiyah Muhammad Ridzuan.

Malaysia selesa mendahului 2-0 sebelum tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, UAE cuba bangkit namun benteng pertahanan negara kekal ampuh untuk memastikan gawang tidak dibolosi dan keputusan kekal hingga tamat perlawanan.

Kemenangan ini merupakan kejayaan kedua berturut-turut Malayan Tigress ke atas pasukan tuan rumah selepas menundukkan UAE 3-1 pada aksi pertama, Khamis lalu.

Dalam perlawanan pembukaan itu, Malaysia meraih tiga gol menerusi Nurfazira Muhamad Sani, Intan Sarah Anisah Zulgafli dan Nur Adrienna Zamzaihiri — sekali gus memberikan suntikan semangat awal kepada pasukan menjelang tugasan besar akan datang.

Skuad kebangsaan kini menjalani kem latihan pusat di Dubai sebagai persiapan menghadapi saingan Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 yang dijadual berlangsung di Dushanbe, Tajikistan dari 29 Jun hingga 5 Julai ini.

Malayan Tigress akan memulakan kempen Kumpulan H Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 dengan perlawanan pembukaan menentang Palestin pada 29 Jun ini.

Seterusnya, Malayan Tigress dijadual menentang Tajikistan pada 3 Julai sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang Korea Utara pada 5 Julai dalam usaha memburu slot ke kejohanan bakal berlangsung di Australia pada Mac tahun depan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen