malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Serangan AS cetus panik: Kapal tangki lari dari Selat Hormuz
Diterbitkan:  Jun 23, 2025 4:04 PM
Dikemaskini: 8:28 AM
ADS

GLOBAL l Dua kapal tangki super, masing-masing mampu membawa sekitar 2 juta tong minyak mentah, berpatah balik dari Selat Hormuz selepas serangan udara Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran mencetuskan kebimbangan akan serangan balas yang boleh menjejaskan perkapalan komersial di rantau itu, lapor Bloomberg.

Kapal Coswisdom Lake dan South Loyalty masing-masing memasuki laluan penting itu sebelum tiba-tiba mengubah haluan pada Ahad, menurut data penjejakan kapal yang dikumpul Bloomberg. Kedua-dua kapal tangki kosong itu kemudian belayar ke arah selatan, menjauhi pintu masuk ke Teluk Parsi.

Walaupun gangguan isyarat kapal dan elektronik di Teluk Parsi meningkat sejak serangan udara Israel pada 13 Jun, pergerakan dan tindakan berpatah balik oleh dua kapal itu masih menyerupai tingkah laku biasa kapal tangki, dan bukannya insiden luar biasa.

Meskipun terdapat gangguan isyarat dan usaha kapal-kapal untuk menjauhi pantai Iran, kapal tangki minyak dan gas masih meneruskan pelayaran melalui selat tersebut selepas serangan udara AS.

Namun, keputusan Coswisdom Lake dan South Loyalty untuk berpatah balik merupakan petunjuk awal kemungkinan perubahan laluan penghantaran.

Pemilik kapal dan pedagang minyak kini memantau rapat sebarang tanda bahawa konflik lebih meluas di Asia Barat bakal mula mempengaruhi laluan perkapalan.

Semalam, kementerian perkapalan Greece mengeluarkan notis menasihatkan kapal-kapal miliknya untuk menilai semula pelayaran melalui Hormuz dan sebaliknya berlindung di pelabuhan selamat sehingga keadaan kembali stabil.

AS telah melancarkan salah satu serangan udara terbesar dalam beberapa dekad semalm dengan menyasarkan tapak-tapak nuklear utama Iran di Fordow, Natanz dan Isfahan.

Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, mengesahkan bahawa operasi tersebut — dinamakan Operation Midnight Hammer — merupakan satu “kejayaan luar biasa dan menyeluruh,” yang dilaksanakan atas arahan langsung Presiden Donald Trump.

Susulan serangan itu, Iran sedang mempertimbangkan pilihan untuk menutup Selat Hormuz, menurut laporan EuroNews yang diterbitkan pada Ahad. Selat itu merupakan antara titik laluan maritim paling penting di dunia bagi penghantaran minyak.

Imej satelit komersial mencadangkan serangan AS mungkin menyebabkan kerosakan serius — jika tidak pun mungkin memusnahkan sepenuhnya — kemudahan nuklear bawah tanah Fordow serta sentrifug yang digunakan untuk pengayaan uranium. Namun, para pakar menyatakan belum ada pengesahan rasmi mengenai tahap kerosakan tersebut.

Komander Kor Pengawal Revolusi Islam Iran merangkap ahli parlimen, Sardar Esmail Kowsari, berkata penutupan Selat Hormuz 'sedang dipertimbangkan', selain 'Tehran secara tegas akan membuat keputusan terbaik'.

Memandangkan ketegangan semakin memuncak, kapal-kapal mungkin memilih untuk menunggu di luar Selat Hormuz berbanding meneruskan pelayaran ke pelabuhan ditetapkan dan dijangka lewat tiba di sana.

Malah pendapatan penanda aras kapal tangki meningkat hampir 90 peratus, sebelum serangan berlaku hujung minggu lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen