malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
UMS lapor polis insiden bakar karikatur PM
Diterbitkan:  Jun 23, 2025 3:23 PM
Dikemaskini: 9:54 AM
ADS

Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan membuat laporan polis berhubung tindakan membakar karikatur Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dalam himpunan "Gempur Rasuah Sabah 2.0" yang berlangsung di Kota Kinabalu semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, UMS menegaskan universiti itu tidak terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam insiden tersebut.

UMS juga menyatakan pihaknya memandang serius perkara itu, apatah lagi rakaman insiden berkenaan telah tular di media sosial.

"Selain bertentangan dengan norma-norma perhimpunan aman, pihak UMS melihat tindakan tersebut sebagai tindakan tidak beradab, kurang matang, sekali gus tidak mencerminkan intelek pelajar institusi pengajian tinggi,” katanya.

UMS berkata universiti itu menolak sekeras-kerasnya sebarang tindakan yang berisiko mendatangkan mudarat bukan sahaja kepada peserta malah kepada orang awam.

"Justeru, pihak pengurusan universiti akan membuat satu laporan polis berhubung insiden ini dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan lanjut,” tambah kenyataan itu.

Sementara itu, UMS turut menyatakan kekesalan dengan kenyataan dikeluarkan kumpulan terbabit yang mempersoalkan pelantikan Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah sebelum ini.

"Pelantikan tersebut dibuat atas perkenan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang seharusnya dihormati,” katanya.

Terdahulu, kumpulan aktivis pelajar Suara Mahasiswa UMS mengadakan perhimpunan yang bermula sekitar jam 1 petang Sabtu dan berakhir kira-kira jam 11 pagi semalam.

Perhimpunan yang dihadiri lebih 100 pelajar itu mengemukakan beberapa tuntutan, antara tindakan undang-undang terhadap Jabatan Air Sabah serta autonomi penuh diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peserta perhimpunan turut menyuarakan kritikan terhadap perdana menteri dan beberapa Adun Sabah yang dikaitkan dengan skandal lesen perlombongan, serta menyasarkan bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah Musa Aman.

Himpunan berakhir apabila kumpulan itu bertindak membakar karikatur perdana menteri sebagai simbolik protes.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Munim, turut mengecam tindakan tersebut dan menyifatkannya ‘biadab dan berlebihan’.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen