Keadaan kesihatan Presiden PAS Abdul Hadi Awang - yang sebelum ini menjalani prosedur rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) - menunjukkan perkembangan yang sangat positif.
Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pakar perubatan yang merawat Ahli Parlimen Marang itu berpendapat, proses pemulihan Abdul Hadi agak luar biasa dan lebih cepat daripada jangkaan.
“Alhamdulillah, saya telah melawat beliau (Abdul Hadi) dan saya sangat teruja melihat prosedur yang dijalani Tan Sri berjalan lancar, dan proses pemulihan sangat cepat.
"Insya-Allah beliau mampu kembali bekerja dengan cepat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian Persidangan East Coast Energy (ECE) 2025 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu hari ini.
Terdahulu, Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan berkenan menyempurnakan Persidangan ECE 2025 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.
Ditanya tentang prosedur dan lokasi Abdul Hadi mendapatkan rawatan yang tidak dijelaskan sebelum ini, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata ia dibuat bagi menghormati privasinya yang tidak boleh menerima kunjungan pelawat yang ramai.
"Kita perlu faham, dalam keadaan tertentu apabila disebut lokasi dan sebagainya, orang ingin melawat, kalau tidak diizinkan mereka akan berkecil hati.
"Dengan keadaan usia Tuan Guru (Abdul Hadi), kita perlu meminimumkan sebarang kemungkinan yang boleh mengganggu proses rawatan," katanya.
- Bernama

