Pemuda PKR (AMK) Cabang Selayang menyaksikan peletakan jawatan besar-besaran yang boleh membawa kepada pembubarannya.
Timbalan Ketua Pemuda Muhammad Amir Sahmat, naib ketua Lee Fook Onn serta 12 daripada 14 ahli jawatankuasa (AJK) meletakkan jawatan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan parti itu bulan lalu.
Tindakan itu mungkin mencerminkan fenomena “badan tanpa kepala” dalam pemilihan PKR, yang disentuh beberapa kali oleh Rafizi Ramli yang gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden.
Amir mengesahkan peletakan jawatan itu susulan dakwaan ketidaktelusan proses pemilihan yang menyaksikan kemenangan Ketua Pemuda Cabang Selayang Tamilarasu Thamil Kalai mengatasi Dinesh Selvarajoo.
"Kami telah mengadakan perbincangan secara kolektif dan mengambil keputusan ini dengan penuh tanggungjawab," kata Amir kepada Malaysiakini.
Amir berkata selain menandatangani surat perletakan jawatan bertarikh 5 Mei, mereka juga menyediakan akuan berkanun (SD) menyatakan ketidakpercayaan terhadap kepimpinan Tamilarasu.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan komen Tamilarasu berkaitan perkembangan itu.
Amir berkata, pada awalnya kesemua 17 AJK menghantar surat letak jawatan tetapi tiga orang menarik balik susulan permintaan kepimpinan pusat.

Katanya, peletakan itu dimaklumkan kepada kepimpinan Setiausaha Pemuda Omar Mokhtar dan Setiausaha Agung Fuziah Salleh melalui surat pada 7 Mei, 4 Jun dan 18 Jun.
Mengikut kandungan surat yang dikongsi kepada Malaysiakini, peletakan jawatan itu melebihi dua pertiga daripada keseluruhan AJK dan harus digantung atau dibubar berdasarkan Fasal 32.4 Perlembagaan PKR.
Kata mereka, Fasal 15.11pula berkata jawatankuasa cabang tersebut akan terbubar dengan sendiri dan mesyuarat khas cabang perlu diadakan dalam tempoh 30 hari.
Malaysiakini telah menghubungi Fuziah dan Omar untuk mendapatkan ulasan.
Salinan kepada Kamil, Nurul Izzah
Difahamkan surat itu turut dipanjangkan kepada Ketua Pemuda Muhammad Kamil Abdul Munim dan Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.
Amir bagaimanapun mendedahkan terdapat usaha dari pihak pimpinan pemuda pusat untuk cuba memujuk ahli yang meletakkan jawatan untuk menarik semula surat perletakan jawatan.

"Tindakan ini jelas tidak mengendahkan hasrat akar umbi jawatankuasa Pemuda cabang Selayang yang mahukan agar mesyuarat agung segera dibuat bagi penubuhan Jawatankuasa Penaja Pemuda cabang Selayang.
"Suara kepimpinan akar umbi perlu untuk didengar dan diterima oleh pimpinan pusat dan bukannya bertindak untuk tidak mengendahkan permintaan mereka.
"Tindakan pimpinan pemuda pusat ini jelas bertentangan dengan peraturan dan perlembagaan PKR," katanya.
AMK dijangka memberikan penjelasan berkaitan perkara itu tidak lama lagi.
Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh menolak dakwaan sayap Pemuda PKR Selayang dibubarkan.
Dia dipetik FMT berkata bahawa sekurang-kurangnya dua pertiga, atau 18 daripada 26 ahli jawatankuasa, mesti meletakkan jawatan untuk sayap itu dianggap terbubar.
"Jumlah ahli yang dipilih ialah 18, dan tambahan lapan boleh dilantik, menjadikan maksimum 26. Untuk memenuhi ambang dua pertiga, sekurang-kurangnya 18 ahli mesti meletakkan jawatan.
"Mula-mula, 17 meletak jawatan, kemudian tiga menarik diri, diikuti seorang lagi. Angka terkini mereka yang meletak jawatan ialah 13," katanya.
Awal hari ini, pemimpin Pemuda PKR Selayang berkata kumpulan itu telah menghantar tiga surat kepada Fuziah - pada 7 Mei, 4 Jun dan 18 Jun - tetapi masih belum menerima jawapan rasmi.
Bagaimanapun, Fuziah menegaskan bahawa jumlah yang meletak jawatan tidak mencukupi untuk syarat pembubaran, dan proses yang digariskan dalam perlembagaan parti mesti diikuti.

