Penyertaan Malaysia dalam kejohanan anjuran Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (Cafa) Nations Cup 2025 bukan sekadar jemputan antarabangsa—ia adalah langkah strategik yang mampu memperkukuh pembangunan jangka panjang skuad kebangsaan.
Ketua jurulatih negara, Peter Cklamovski menyifatkan penyertaan dalam kejohanan itu sebagai langkah penting dalam usaha pembangunan berterusan skuad Harimau Malaya.
“Kami berbangga menyertai Kejohanan Cafa 2025. Ia satu cabaran besar buat kami, beraksi di tempat lawan dan berdepan pasukan-pasukan yang kuat dalam suasana yang mencabar.
“Pengalaman ini akan menguji kami dalam pelbagai aspek, di dalam dan di luar padang, dan ia amat penting untuk pembangunan berterusan skuad kebangsaan,” katanya.

Cklamovski turut menekankan kepentingan kejohanan itu dalam menyatukan semangat penyokong serta membawa nama negara ke peringkat lebih tinggi.
“Kejohanan ini merupakan satu lagi peluang penting untuk Harimau Malaya mengharumkan nama negara, menyemarakkan semangat penyokong, dan terus membina perpaduan yang diimpikan oleh bola sepak Malaysia,” katanya.
Skuad Harimau Malaya bakal menggalas cabaran getir apabila bersaing dalam kejohanan itu yang dijadual berlangsung pada 26 Ogos hingga 9 September nanti, menampilkan lapan pasukan termasuk dua gergasi Asia, Iran dan Uzbekistan – kedua-duanya sudah menempah slot ke Piala Dunia 2026.

Malaysia merupakan satu daripada dua negara yang menerima jemputan khas untuk edisi 2025, selain Oman (77). Ini menjadikan kejohanan itu disertai lapan pasukan – enam negara anggota Cafa termasuk Afghanistan (160), Iran (18), Kyrgyzstan (103), Tajikistan (104), Turkmenistan (142) dan Uzbekistan (57).
Cafa Nations Cup pertama kali dianjurkan pada 2023. Format ketika itu menyaksikan tujuh pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan. Juara kumpulan layak ke final manakala naib juara akan bersaing dalam perebutan tempat ketiga.

