GLOBAL l Iran dan Israel saling melancarkan serangan udara dan peluru berpandu ketika dunia menanti-nanti tindak balas Tehran terhadap serangan Amerika Syarikat ke atas tapak nuklear Iran, sementara Presiden AS Donald Trump mengutarakan kemungkinan perubahan rejim di republik Islam itu.
Reuters melaporkan Iran berikrar akan mempertahankan diri pada Ahad, sehari selepas AS menyertai Israel dalam tindakan ketenteraan Barat terbesar terhadap negara itu sejak Revolusi Islam 1979, meskipun seruan antarabangsa mendesak agar kedua-dua pihak menahan diri dan kembali ke meja rundingan.

Laporan itu menyebut imej satelit komersial menunjukkan serangan AS pada Sabtu ke atas loji nuklear Fordow milik Iran yang terletak di bawah tanah telah merosakkan atau memusnahkan lokasi tersebut secara serius, termasuk mesin sentrifug pengayaan uranium yang disimpan di situ. Namun, status sebenar loji itu masih belum dapat disahkan, menurut pakar.
Sementara itu, dalam kenyataan terbaharunya di media sosial mengenai serangan AS itu, Trump berkata, “Kerajaan Iran mengalami kerosakan besar pada semua tapak nuklear.”
“Kerosakan paling besar berlaku jauh di bawah tanah. Tepat kena sasarannya!!!” tulisnya di platform Truth Social miliknya.
Sebelum ini, Trump menyeru Iran agar tidak membalas serangan tersebut dan menyatakan kerajaan Iran “kini mesti memilih keamanan” atau berdepan serangan lebih hebat dan lebih mudah dilaksanakan pada masa depan.

Pengerusi Ketua Turus Bersama, Jeneral Dan Caine pada sidang medianya, berkata AS telah melancarkan 75 peluru berpandu berpandukan sasaran termasuk bom pemusnah kubu bawah tanah serta lebih dua dozen peluru berpandu Tomahawk terhadap tiga tapak nuklear Iran.
Sementara itu, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengesahkan pintu masuk ke terowong bawah tanah di kompleks nuklear Isfahan, Iran, terkena serangan udara AS.
IAEA dalam satu kenyataan, menyebut terowong berkenaan digunakan untuk menyimpan sebahagian daripada stok uranium yang telah diperkaya oleh Iran.
“Kami telah mengenal pasti pintu masuk ke terowong bawah tanah di tapak tersebut telah terjejas,” kata Ketua Pengarah IAEA, Rafael Grossi, dalam taklimatnya kepada Majlis Keselamatan PBB.

Grossi turut menegaskan Iran berhak mengambil langkah perlindungan terhadap bahan nuklearnya, selagi ia mematuhi kewajipan di bawah Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT).
“Langkah khas oleh Iran untuk melindungi bahan dan peralatan nuklear boleh dilakukan selaras dengan obligasi keselamatan mereka,” katanya.
Sebelum ini, pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu menyatakan tiada peningkatan tahap radiasi luar tapak dilaporkan selepas serangan AS.
Grossi dipetik oleh CNN sebagai berkata, bahawa masih terlalu awal untuk menilai tahap kerosakan di kawasan bawah tanah.
Sementara itu, seorang sumber kanan Iran memaklumkan kepada Reuters bahawa kebanyakan uranium diperkaya tinggi di Fordow telah dipindahkan ke lokasi lain sebelum serangan berlaku. Namun, menurut Reuters, mereka tidak dapat mengesahkan dakwaan tersebut secara bebas.

Tehran, yang berulang kali menafikan program nuklearnya bertujuan selain daripada kegunaan aman, telah membalas dengan menghantar peluru berpandu ke arah Israel selepas serangan AS, mencederakan ramai individu dan memusnahkan beberapa bangunan di Tel Aviv.
Namun, Iran masih belum melaksanakan ancaman utamanya untuk menyerang pangkalan AS atau menyekat penghantaran minyak melalui Selat Hormuz.
Tindakan menutup selat tersebut, laluan penting bekalan minyak Teluk, boleh melonjakkan harga minyak global, menggugat ekonomi dunia dan mencetuskan konflik langsung dengan Armada Kelima AS yang berpengkalan di Teluk.

Harga minyak melonjak pada Isnin ke paras tertinggi sejak Januari. Niaga hadapan minyak mentah Brent naik sebanyak AS$1.88 atau 2.44 peratus kepada AS$78.89 setong pada jam 1122 GMT. Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS pula meningkat AS$1.87 atau 2.53 peratus kepada AS$75.71.
Parlimen Iran telah meluluskan usul untuk menutup Selat Hormuz, yang dikongsi Iran bersama Oman dan Emiriah Arab Bersatu.
Stesen penyiaran Press TV Iran pula melaporkan sebarang keputusan untuk melaksanakan langkah tersebut memerlukan kelulusan Majlis Keselamatan Negara Tertinggi, sebuah badan yang dipengerusikan oleh wakil lantikan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.


