ULASAN | Setakat yang saya ikuti di media sosial secara umumnya respons umat Islam dan negara Islam terhadap serangan negara haram Israel ke atas negara Iran begitu dingin.
Saya tidak dengar misalnya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengadakan sidang tergempar untuk membincangkan isu ini, seolah-olah tiada elemen ‘urgency’.
Semasa umat Islam begitu rakus dibunuh oleh rejim haram Israel di Palestin, alhamdulillah respons dan reaksi umum negara-negara Islam dan rakyatnya relatif begitu baik.
Semasa umat Islam di Palestin diperlakukan begitu zalim oleh rejim haram Israel dan para sekutunya boleh dikatakan setiap minggu saya melihat dan mendengar khutbah Jumaat di masjid di Malaysia begitu lantang mengutuk serangan rejim haram Israel diikuti oleh solat hajat dan doa yang berterusan meminta Allah menyelamatkan umat Islam Palestin dan memusnahkan pihak yang menzalimi mereka. Qunut Nazilah suatu yang rutin.
Dan begitu banyak juga badan dan persatuan umat Islam yang mengambil inisiatif mengumpul dana bagi membantu saudara-saudari mereka di Palestin. Boikot juga amat rancak!
Jujurnya saya agak terkejut kerana reaksi sedemikian tidak berlaku sekarang apabila saudara-saudari mereka di Iran sedang dizalimi dan dibuli oleh musuh utama negara Islam sendiri iaitu Israel yang dibantu oleh para sekutunya.
Mengapa hal itu berlaku? Adakah kerana majoriti umat Islam di Iran bermazhab syiah? Adakah mereka dianggap tidak berada dalam orbit Islam kerana bermazhab syiah?
Saya harap ia tidak berlaku begitu. Lagipun jika mazhab menjadi puncanya kita mungkin tidak sedar jumlah umat Islam bermazhab sunni di Iran tidaklah sedikit. Sahabat baik saya daripada Afghanistan memberitahu saya ada lebih kurang 20 juta umat Islam bermazhab sunni di Iran.
Apapun, faktor mazhab tidak seharusnya dijadikan faktor halangan untuk negara Islam dan umatnya diam dan tidak bersuara dan tidak membantu para saudara-saudari mereka di Iran. Bagi saya sikap itu tidak betul sama sekali.
Israel langgar undang-undang antarabangsa
Serangan ke atas Iran oleh rejim haram Israel adalah jelas tidak sah dan melanggar undang-undang antarabangsa. Artikel 2 (4) Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu (“Piagam PBB”) jelas melarang mana-mana negara menggunakan kekerasan senjata ke atas mana-mana negara lain di dunia ini .
Piagam PBB tersebut diwujudkan berdasarkan pengalaman pahit dan ngeri dua perang dunia yang menyaksikan begitu ramai mangsa yang terkorban.

Piagam tersebut juga diwujudkan di atas premis semua negara di dunia ini - tanpa mengira saiz negara tersebut - adalah negara berdaulat oleh itu status mereka adalah sama dan kedaulatan mereka wajib dihormati.
Israel menggunakan alasan bela diri atau self-defence sebagai justifikasi serangan ke atas Iran. Ini kerana, menurut Israel, Iran sedang dalam proses menghasilkan bom nuklear. Maka Israel boleh menyerang Iran berdasarkan alasan bela diri secara pre-emptif.
Sudah tentu hujah Israel itu amat rapuh sekali. Berdasarkan piagam PBB hanya dalam dua keadaan sahaja pembelaan bela diri boleh dibenarkan iaitu, pertama, di bawah Artikel 51 piagam tersebut itu pun dengan syarat jika wujudnya konflik senjata di mana Iran misalnya telah menyerang Israel. Dan itu jelas tidak berlaku.
Keadaan kedua di mana pembelaan bela diri boleh dibenarkan hanya jika Majlis Keselamatan PPB membenarkan atau mengizinkan hal itu. Boleh dikatakan kedudukan undang-undang antarabangsa mengenai soal bela diri ini telah tuntas sebenarnya. Begitu banyak sekali pandangan para pakar undang-undang antarabangsa yang mengesahkan hal tersebut.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) juga telah memutuskan hal tersebut dalam beberapa kes seperti kes yang masyhur iaitu kes Nicaragua. Dalam kes tersebut, ICJ telah membuat keputusan yang tidak memihak kepada AS dan pembelaan bela diri USA juga telah ditolak oleh ICJ.
Jelas dalam kes Israel menyerang Iran kedua-dua hal tersebut tidak wujud sama sekali maka pembelaan bela diri Israel bukan sahaja rapuh tetapi juga terbatal.
Oleh itu serangan Israel ke atas Iran adalah tidak sah dan bersifat zalim, menindas serta membuli Iran. Oleh itu jika negara Islam atau umat Islam yang bermazhab sunni mengira mereka begitu “suci” sehingga tidak boleh membantu saudara-saudari mereka yang bermazhab syiah mereka seharusnya mengubah pendirian dan sikap mereka itu atas dua faktor berikut.
Faktor pertama jika mazhab menjadi halangan bagi menolong umat Islam Iran, mereka boleh bersandar atas faktor kemanusiaan kerana jelas umat Islam di Iran sedang dizalimi.
Faktor kedua adalah umat Islam seharusnya rasa malu kepada negara-negara bukan Islam dan golongan non-muslim yang begitu lantang mengutuk kezaliman dan kekejaman Israel dan tegas menyokong Iran.
MOHAMED HANIPA MAIDIN adalah mantan timbalan menteri undang-undang.
Tulisan ini tidak semstinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

