Peguam bekas perdana menteri Najib Abdul Razak, Shafee Abdullah berkata menjadi VIP pada masa kini adalah satu beban.
Dia berkata Najib akan diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) seawal dua tahun selepas perbicaraan pengubahan wang haram SRC International Sdn Bhd jika dia bukan VIP.
"Sekarang ini adalah satu beban untuk menjadi VIP. Mungkin lebih baik jadi orang biasa. Sebagai VIP, anda benar-benar 'kena ketuk' lebih daripada orang lain," keluhnya semasa sesi townhall hari ini.
Dia merupakan ahli panel pada acara yang diadakan di KL Gateway Mall, yang merupakan sesi keenam Townhall Rakyat Mencari Kebenaran bertajuk ‘Antara Dua Titah’.
Pada Jumaat (20 Jun), hakim Mahkamah Tinggi K Muniandy menyatakan bahawa DNAA Najib, yang menggugurkan sementara pertuduhan, tidak menjejaskan pihak pendakwaan kerana mereka kekal bebas untuk memfailkan semula pertuduhan terhadap Najib apabila bersedia.
Dia berkata kes terhadap Najib belum selesai sejak 2019 tanpa seorang saksi pun dipanggil dan sebaliknya ditandakan dengan penangguhan berterusan, menunjukkan bahawa pihak pendakwaan tidak bersedia untuk meneruskan.
Jabatan Peguam Negara (AGC) pada hari itu berkata ia "tidak mempunyai pilihan lain" selain menunggu keputusan 1MDB Najib dan perbicaraan SRC International yang pertama, sebelum ia boleh menggunakan dokumen bertindih yang diperlukan untuk kes kedua SRC International.
Mengulas lanjut, Shafee menyatakan keyakinannya bahawa Najib akan menghadapi halangan dalam permohonannya untuk parol akhir tahun ini walaupun menjadi "banduan contoh".
Jelasnya, proses remisi kepada parol diputuskan oleh pihak eksekutif iaitu Jabatan Penjara yang terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri.
"Saya tidak membuat dakwaan terhadap sesiapa secara khusus (tetapi) soalan yang anda mesti tanya: adakah kerajaan semasa mendapat manfaat atau tidak jika membenarkan Najib keluar awal?" katanya.
Najib akan layak memohon parol sekitar September hingga Oktober tahun ini, tambah Shafee.

Perbincangan dalam acara itu juga berkisar tentang titah adendum yang dilaporkan dikeluarkan pada 29 Jan tahun lepas yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Ahli panel Dzulkifli Ahmad, bekas ketua pesuruhjaya SPRM, berpendapat bahawa perkara itu bukan isu undang-undang tetapi pelaksanaan.
Katanya, kuasa prerogatif telah diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong oleh Perlembagaan Persekutuan untuk mengeluarkan pengampunan diraja.
Dia memetik pengampunan diraja yang diterima Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 2018, mengatakan tidak ada perbezaan antara pengampunan itu dan pengampunan yang diterima Najib.
Pada 16 Mei 2018, Anwar telah diberikan pengampunan penuh atas alasan berlaku penyelewengan keadilan.
Anwar dihantar ke penjara buat kali kedua pada 2015 atas tuduhan liwat, pertuduhan yang didakwanya bermotifkan politik.
Sementara itu, penulis Omar Mustapha - yang juga pembantu Najib semasa menjadi timbalan perdana menteri - berkata pengampunan tidak berlaku tanpa sebab dan dipengaruhi oleh politik.
Mengambil contoh pembebasan Anwar, dia berkata pemimpin PKR itu akan bebas dalam masa beberapa minggu walaupun tanpa pengampunan.
"Kenapa pengampunan? Ini untuk kita faham - pengampunan itu sendiri adalah tindakan politik.
"Ia mempunyai akibat politik dan satu-satunya sebab pengampunan itu adalah untuk memberinya kebebasan bertanding dan kembali ke kehidupan awam," katanya.

