Ahli Dewan Negara dari DAP, Dr A. Lingeshwaran, menyuarakan kebimbangan serius terhadap cadangan kerajaan membenarkan pengeluaran Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tujuan pembayaran premium insurans kesihatan.
Katanya, meskipun hasrat kerajaan adalah untuk meringankan beban rakyat, langkah tersebut boleh mencetuskan duluan berbahaya yang menjejaskan matlamat asal KWSP sebagai jaminan kewangan selepas persaraan.
“Malaysia sedang menuju ke arah status negara menua, dengan lebih 15 peratus penduduk dijangka berumur 60 tahun ke atas menjelang 2030.
"Namun, data KWSP menunjukkan hanya 27 peratus pencarum aktif yang berumur 55 tahun memiliki simpanan minimum RM240,000 – jumlah asas yang disarankan untuk persaraan selesa.
"Membenarkan lebih banyak pengeluaran hanya akan memperbesar jurang simpanan persaraan dan menjejaskan maruah serta kesejahteraan warga emas pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, menjelaskan bahawa cadangan tersebut bersifat sukarela dan mengambil inspirasi daripada model negara lain seperti Singapura, yang menekankan akses insurans kesihatan kepada majoriti rakyat.
Dzulkefly berkata cadangan itu bertujuan memberikan pilihan perlindungan tambahan kepada pencarum KWSP, memandangkan ketika ini 32 peratus kos penjagaan kesihatan ditanggung sendiri oleh pesakit tanpa sebarang perlindungan insurans.
Namun, Lingeshwaran turut menyuarakan kebimbangan terhadap potensi eksploitasi oleh syarikat insurans, yang mungkin menaikkan kadar premium sekiranya mengetahui simpanan KWSP boleh digunakan untuk pembayaran.
Sebaliknya, dia menegaskan kerajaan seharusnya menumpukan usaha mengawal kos penjagaan kesihatan, termasuk menuntut ketelusan hospital swasta besar yang meraih keuntungan tinggi, dan bukannya memberi tekanan kepada pengamal perubatan am (GP).

Dia turut mempersoalkan status pelaksanaan Kertas Putih Kesihatan (KPK) yang telah diluluskan pada 2023.
“Walaupun KPK menggariskan empat teras utama reformasi kesihatan nasional, hingga kini tiada pelan pelaksanaan yang jelas dibentangkan kepada rakyat.
Tanpa tindakan konkrit, rakyat akan terus dibebani penyelesaian jangka pendek yang merosakkan sistem kesihatan negara,” katanya.
Justeru, Lingeshwaran menggesa kerajaan supaya tidak bergantung kepada pendekatan reaktif, sebaliknya melaksanakan dasar berani dan berprinsip demi membina masa depan sistem kesihatan yang mampan dan adil untuk semua lapisan rakyat.
Pada hujung Mei lalu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) turut menggesa Ahli Parlimen memberi perhatian serius terhadap pelaksanaan reformasi kesihatan yang digariskan dalam KPK.
Bakal Presiden MMA, Dr Thiryunavakarasu Rajoo berkata, libat urus bersama pihak berkepentingan adalah penting, namun KPK sudah pun menyediakan kerangka strategik yang lengkap untuk memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negara.
KPK merupakan pelan jangka panjang Kementerian Kesihatan untuk merombak sistem kesihatan nasional dalam tempoh 15 tahun (2024–2039).
Dilancarkan pada tahun 2022, ia menggariskan perubahan struktur jangka panjang, khususnya dalam menangani cabaran sistemik dalam sektor kesihatan serta mencadangkan reformasi dalam aspek penyampaian perkhidmatan, pembiayaan dan tadbir urus.
Kertas ini telah melalui beberapa pencapaian penting pada Jun 2023 apabila mendapat kelulusan kabinet dan dibentangkan di Parlimen oleh bekas Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, sebelum diluluskan.

