malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Usul termasuk tarik balik penggantungan Hisham akan dibincang MKT Umno'
ADS

Semua usul dikemukakan pada mesyuarat Umno peringkat bahagian di seluruh negara ketika ini akan dibawa kepada Majlis Tertinggi Umno (MKT) untuk bincangkan, kata Setiausaha Agung Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ini termasuk usul dibentangkan Umno Sembrong semalam yang menggesa parti itu menarik semula penggantungan terhadap bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussien.

"Kita menerima semua usul (dikemukakan) apabila dah selesai mesyuarat bahagian dan pengerusi perhubungan negeri akan bentangkan (usul) kepada Majlis Kerja Tertinggi parti... dan kita akan bincanglah," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Umno Rompin, dekat Muadzam Shah, Pahang, hari ini.

Semalam Umno Sembrong menggesa kepimpinan parti menarik balik penggantungan terhadap Hishammuddin secara serta-merta dan tanpa syarat.

Ketuanya, Abdul Ghani Abdul Rashid berkata ini kali kedua dalam tempoh dua tahun mereka meluluskan usul berkenaan perkara itu.

Ketika disoal apakah peluang akan diberikan kepada mereka yang berdepan tindakan seperti Hishammuddin, Asyraf Wajdi berkata, Umno adalah parti yang terbuka dan menerima setiap rayuan dikemukakan.

"Ramai dah pimpinan-pimpinan Umno buat rayuan dan sebagainya, diterima oleh Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi.

"Tapi dalam hal ini, saya terimalah semua usul-usul dikemukakan," jelasnya.

Hishammuddin yang juga ahli Parlimen Sembrong digantung keahlian selama enam tahun pada Januari 2023 atas alasan melanggar dispilin parti. Turut digantung adalah bekas ketua penerangan Shahril Hamdan.

Bekas ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Umno Selangor, Noh Omar pula dipecat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen