malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS alu-alukan pandangan Zaid mengenai hasrat terajui negara
Diterbitkan:  Jun 22, 2025 2:40 PM
Dikemaskini: 6:40 AM
ADS

PAS menyambut baik kenyataan bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim, yang menyatakan bahawa parti itu mempunyai potensi untuk memajukan negara sekiranya dapat menggabungkan prinsip moral dengan komitmen terhadap tadbir urus yang baik dan pendekatan inklusif.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata parti itu menghargai pandangan jujur Zaid mengenai kekuatan dan kelemahan PAS, termasuk cadangan untuk memperbaiki kelemahan tersebut sebagai syarat penting dalam usaha merealisasikan hasratnya memimpin negara.

"Paling menarik ialah pandangan beliau mengenai gabungan prinsip moral dengan tadbir urus baik dan pendekatan inklusif sebagai landasan penting bagi membawa negara ke tahap lebih tinggi,” kata Takiyuddin dalam kenyataan.

Menurutnya, sebagai parti berteraskan Islam, PAS akan terus menjadikan agenda moral, nilai unggul dan akhlak sebagai tonggak utama dasar, tindakan dan wawasan.

Tambahnya, komitmen pada moral dan akhlak dalam kehidupan, baik peribadi atau awam, bukan eksklusif kepada PAS atau Islam semata-mata.

Sebaliknya, kata Takiyuddin, ia mendapat perhatian banyak pemikir dan penulis besar sejak zaman berzaman dan terus menjadi topik penting hingga ke hari ini, terutama apabila berlakunya kerosakan besar yang menggugat kecekapan fungsi institusi politik serta kepercayaan orang awam terhadapnya.

"Dalam tradisi keilmuan Barat, isu ini mendapat perhatian tokoh-tokoh seperti Plato, Aristotle, St Augustine, Hobbes, Locke dan Kant yang membahaskan peranan serta kepentingan moral dalam politik dan kerajaan bagi memastikan ia membawa manfaat kepada manusia terbanyak, sekali gus menghalang penyalahgunaannya.

"Penggubalan 7 Prinsip Nolan oleh Jawatankuasa Standard Kehidupan Awam (Committee on Standards in Public Life) di United Kingdom (UK) bawah kepimpinan John Major pada 1995 misalnya juga bertujuan menjadi panduan moral dan etika pegawai awam berikutan skandal "wang untuk soalan" (cash for questions) melibatkan beberapa orang Ahli Parlimen negara itu," katanya.

Takiyuddin berkata ini memberi gambaran tentang kepentingan dan keutamaan moral dan etika sebagai teras kehidupan awam, termasuk politik dan kerajaan.

"Ia adalah justifikasi kepada ketegasan PAS dalam hal ini yang turut diakui oleh Zaid dari sudut kebersihan pimpinan PAS daripada rasuah dan amalan korup.

"Ini berlawanan dengan kerajaan semasa yang bukan sahaja dilihat gagal menunaikan janji-janji yang dibuat sebelum ini, tetapi turut terpalit dengan dakwaan kronisme, penyalahgunaan kuasa, sekatan kebebasan bersuara dan sebagainya yang menghakis kepercayaan bukan sahaja orang awam, tetapi juga penyokong tegarnya,” ujarnya lagi.

Takiyuddin menegaskan bahawa PAS juga komited kepada kedaulatan undang-undang, ketelusan, akauntabiliti, keterbukaan, integriti, kejujuran, keadilan serta kepimpinan berhemah dalam menjalankan peranannya sebagai parti politik dan juga kerajaan.

Ia katanya demi memajukan kepentingan awam, sekali gus mempertahankan kepercayaan orang ramai terhadap institusi, sistem dan proses pemerintahan negara.

PAS berpotensi pimpin negara

Minggu lalu, Zaid Ibrahim menempelak pengkritik PAS yang menurutnya memperkecilkan potensi parti itu, malah membandingkannya dengan kepimpinan ulama di Iran.

“Sejarah telah menunjukkan bahawa kepimpinan ulama mampu memimpin negara mengharungi pelbagai cabaran besar. Lihat saja Iran,” tulisnya di Facebook.

"Iran dipimpin oleh Majlis Ulama yang berpegang kuat pada ideologi, dan negara itu bukan sahaja mampu bertahan, malah tetap mempertahankan kemerdekaannya walaupun berdepan puluhan tahun peperangan dan sekatan oleh kuasa besar," katanya.

PAS, sebagai komponen utama dalam gabungan PN, kini memegang jumlah kerusi tertinggi di Dewan Rakyat dengan 43 kerusi. Parti itu juga menerajui kerajaan negeri di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Walaupun PAS berusaha memperluas sokongan dalam kalangan pengundi bukan Melayu, parti itu kerap dituduh sebagai faktor yang memecahbelahkan dalam isu kaum dan agama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen