Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, menyifatkan kekalahannya dalam perebutan jawatan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Arau pada pemilihan semalam sebagai ruang untuknya bermuhasabah.
Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS negeri berharap agar barisan kepimpinan baru kawasan berkenaan akan terus memperkukuh saf perjuangan serta membantu memperteguh kerajaan PN Perlis.
“Ia menjadi ruang muhasabah buat diri saya, dalam mengimbangi tanggungjawab saya sebagai pemimpin kerajaan dan sebagai anggota parti yang telah kita bina bersama.
"Saya amat berharap agar barisan kepimpinan PAS Kawasan Arau yang baru akan terus memperkukuh saf perjuangan kita serta membantu memperteguh kerajaan Perikatan Nasional Perlis, lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang semakin menghampiri," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Mohd Shukri berkata PAS Arau akan terus unggul dengan saf kepimpinan yang kukuh terutama dengan kehadiran dan bantuan Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim yang disifatkannya sebagai "tokoh ulung yang hebat dan dahsyat".

"Arau pasti terus unggul dengan saf kepimpinan yang kukuh, dibantu pula oleh tokoh ulung kita, YB Datuk Seri Shahidan Kassim, Ahli Parlimen Arau yang hebat dan dahsyat, tidak pernah mengenal penat dan lelah dalam memacu perjuangan ini ke hadapan.
“Semoga Allah terus memberkati usaha kita semua,” katanya.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Mohd Shukri gagal merebut jawatan Yang Dipertua PAS Arau dalam pemilihan yang diadakan semalam.
Mohd Shukri tewas kepada penyandang, Solahudin Azmi yang dipilih perwakilan bagi memimpin PAS Arau untuk sesi 2025-2027.
Perkara itu disahkan oleh seorang pemimpin PAS Perlis yang enggan namanya didedahkan.
Speaker DUN Perlis Russele Eizan juga dilaporkan gagal mempertahankan jawatan timbalan yang di-pertua.
Sementara Russele yang juga naib pengerusi II PN Perlis tewas kepada Adun Guar Sanji, Ridzuan Hashim.
Seorang lagi pemimpin yang menyokong Mohd Shukri, Exco Perlis Razali Saad pula gagal mempertahankan jawatan naib Yang Dipertua, apabila tewas kepada Nur Yusairy Mansor.
Pemilihan bagi PAS Arau dilaporkan membabitkan lebih 200 perwakilan daripada 60 cawangan.
PAS Padang Besar dijangka menjalankan pemilihan hari ini, manakala PAS Kangar pada 28 Jun ini.
Pemilihan peringkat pusat akan berlangsung sempena Muktamar ke-71 di Alor Setar, Kedah, yang dijadualkan pada 11 hingga 16 Sept nanti.
Mohd Shukri sebelum ini mengundang kontroversi susulan penahanan anaknya, Mohd Syafeeq yang didakwa mengemukakan tuntutan palsu.
Pada 23 Mei tahun lalu, Mohd Syafeeq didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar atas pertuduhan tuntutan palsu lebih RM19,000 untuk projek bekalan minuman untuk Raja Perlis di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).
Perkara itu pernah dibangkitkan oleh perwakilan Perlis semasa muktamar tahun lalu, yang menyifatkannya telah memberi kesan buruk kepada parti.

