Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak memaksa empat pelajar Malaysia yang dilaporkan enggan meninggalkan Iran di sebalik konflik makin memuncak di negara berkenaan.
Menterinya, Zambry Abdul Kadir berkata, buat masa ini pihaknya hanya dapat memantau keselamatan pelajar terbabit menerusi bantuan Kementerian Luar Negeri.
"Oleh kerana mereka tidak mahu pulang memandangkan seperti yang sedia kita maklum, kita cuba membantu sekiranya diperlukan bantuan itu.
"Kalau mereka enggan pulang kita tidak melakukan apa-apa... cuma, sekiranya mereka pulang dan inginkan bantuan untuk menempatkan mereka di institusi yang ada dalam negara - berdasarkan kelulusan mereka - maka kita akan bantu," katanya ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Paya Besar, dekat Kuantan, Pahang, hari ini.
Zambry turut memaklumkan kumpulan pelajar yang enggan pulang itu adalah yang membiayai sendiri pengajian mereka di Iran.
Dia turut berkata, mungkin ada antara pelajar terbabit tidak memaklumkan kepada KPT ketika memasuki Iran bagi tujuan melanjutkan pengajian.
"Namun itu bukan perkara utama (berdaftar atau tidak)... yang paling besar ialah setiap rakyat Malaysia yang berada di luar negara dan dalam keadaan sebegini, menjadi kewajiban kita menghulurkan bantuan kepada mereka.
"Sehubungan ini, KPT sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Luar yang mengendalikan urusan rakyat Malaysia yang berada di luar negara dalam sebarang krisis yang timbul di negara berkenaan," jelasnya.
Krisis antara Iran dan Israel semakin memuncak sejak 13 Jun lalu, menyaksikan kedua-dua negara berbalas serangan.
Susulan keadaan tidak stabil di negara berkenaan, Wisma Putra pada 17 Jun mengeluarkan kenyataan meminta rakyat Malaysia yang berada di Iran, meninggalkan negara itu serta-merta.
Semalam, Menteri Luar, Mohamad Hasan memaklumkan rakyat Malaysia yang terkandas di Iran dijangka menempuh perjalanan melalui jalan darat selama 13 jam untuk sampai di Turkmenistan, iaitu kawasan sempadan terdekat negara berkenaan.
Operasi membawa pulang rakyat Malaysia dijangka berdepan tugas sukar berikutan semua penerbangan di ruang udara Iran tidak lagi selamat untuk digunakan.

