malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
KKM digesa kaji semula cadangan biayai insurans dengan akaun KWSP
Diterbitkan:  Jun 21, 2025 3:37 PM
Dikemaskini: 7:37 AM
ADS

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa mempertimbang semula cadangan skim insurans kesihatan yang membenarkan rakyat menggunakan akaun kedua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membiayai premium bulanan masing-masing.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua PKR Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan, berkata langkah kerajaan membenarkan pengeluaran tersebut - terutamanya dalam landskap insurans swasta yang masih berorientasikan keuntungan dan kurang terkawal - menimbulkan kebimbangan serius.

"Walaupun kami menghargai niat baik di sebalik cadangan ini - iaitu bagi memastikan akses yang lebih luas kepada penjagaan kesihatan, penting agar sebarang dasar sedemikian dirangka dengan perspektif jangka panjang dan sistematik, bukan sebagai langkah reaktif semata-mata.

"Ramai rakyat Malaysia sudah bergelut dengan kemampuan bayaran, dengan polisi insurans sering terbatal selepas beberapa tahun disebabkan tekanan kewangan.

“Mengurangkan simpanan persaraan yang terhad untuk membayar produk yang mungkin tidak berkekalan dalam jangka panjang akan mewujudkan kitaran tidak selamat yang berbahaya.

"Tambahan pula, kenaikan premium sebanyak 40 peratus hingga 70 peratus dalam tahun-tahun kebelakangan ini, seperti yang dilaporkan, hanya memburukkan lagi masalah.

“Tidak realistik dan tidak bertanggungjawab untuk mengharapkan rakyat mengorbankan jaringan keselamatan persaraan mereka semata-mata untuk mengejar kos sektor swasta yang semakin meningkat," katanya.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata cadangan itu juga mengambil inspirasi daripada model negara lain seperti Singapura yang mengutamakan akses insurans untuk majoriti rakyat.

Sambil menjelaskan cadangan itu bersifat sukarela dan bukan wajib, Dzulkefly berkata, pendekatan itu dicadangkan bagi memberi pilihan kepada pencarum yang mungkin inginkan pelan perlindungan insurans lebih meluas kerana ketika ini 32 peratus kos penjagaan kesihatan dibayar sendiri oleh pesakit tanpa perlindungan insurans.

Sathia yang merupakan seorang doktor perubatan berkata KWSP ditubuhkan dengan misi teras jelas iaitu melindungi kebajikan persaraan rakyat Malaysia.

"Dalam konteks ini, kami dengan tegas menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan semula dasar yang dicadangkan dan sebaliknya mengambil pendekatan yang lebih komprehensif dan strategik:

"Mewujudkan Skim Perlindungan Kesihatan Nasional yang adil, terkawal, dan boleh dipertanggungjawabkan kepada awam harus bertujuan untuk melengkapkan dan memperkukuh sistem penjagaan kesihatan awam, memastikan perlindungan tanpa membebankan rakyat secara tidak seimbang," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen