CSO Platform for Reform sekali lagi menggesa supaya SPRM dijadikan sebuah badan bebas tanpa pengaruh politik, susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) bekas perdana menteri Najib Razak.
Gabungan masyarakat sivil itu turut mengulangi desakan agar peranan peguam negara dan pendakwa raya dipisahkan, dengan menyatakan bahawa langkah sedemikian akan “mengukuhkan integriti keputusan pendakwaan”.
Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan sementara Najib daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta berkaitan SRC International.
“Mahkamah menyatakan kelewatan panjang dalam perbicaraan — sebahagiannya disebabkan pihak pendakwaan tidak bersedia — sebagai asas DNAA. Ia mencerminkan isu yang lebih besar mengenai kelambatan dan keberkesanan perbicaraan kes rasuah di Malaysia,” kata gabungan itu dalam kenyataan.
DNAA bermaksud tertuduh dilepaskan daripada pertuduhan tanpa dibebaskan sepenuhnya, dan pihak pendakwaan boleh membawa semula kes itu pada masa akan datang.
Dalam penghakimannya, hakim Mahkamah Tinggi K Muniandy berkata kes berkenaan — yang tertangguh sejak 2019 — masih belum memanggil walau seorang saksi dan telah beberapa kali ditangguh, menunjukkan bahawa pendakwaan belum bersedia untuk meneruskan kes.
Walaupun Najib masih menjalani hukuman penjara atas pertuduhan lain yang juga berkait dengan SRC International, Platform CSO mengingatkan keputusan DNAA itu boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan dan menguatkan tanggapan bahawa golongan berkuasa politik kebal daripada tindakan undang-undang.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan semalam berkata pihaknya “tiada pilihan lain” selain menunggu perbicaraan kes 1MDB dan kes SRC International pertama selesai sebelum meneruskan kes tersebut, memandangkan dokumen yang diperlukan sedang diguna pakai dalam perbicaraan dua kes itu.
AGC turut menafikan bahawa pendakwaan dijalankan secara “cacat”.
Platform CSO turut menggesa kerajaan di semua peringkat agar mengambil pendirian lebih tegas terhadap rasuah demi mewujudkan “sistem tadbir urus yang telus dan bertanggungjawab serta benar-benar berkhidmat untuk rakyat.”
“Rasuah kekal sebagai isu meluas yang memberi kesan di seluruh negara dan ancaman serius terhadap kestabilan dan kesihatan sistem demokrasi kita.
“Kami berdiri teguh menyokong individu dan kumpulan yang berani bersuara menentang ketidakadilan dan mempertanggungjawabkan pihak berkuasa,” katanya lagi.

