Seorang pesara kilang kerugian RM733,000 selepas diperdaya sindiket pelaburan dalam talian pada Mac lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang Hamzah Ahmad berkata kejadian bermula apabila lelaki berusia 66 tahun itu menerima pesanan ringkas berkaitan pelaburan daripada seorang wanita.
“Lelaki itu dijanjikan pulangan keuntungan 10 hingga 15 peratus bagi setiap modal dilaburkan dalam tempoh 20 minit.
“Suspek mengarahkan mangsa mendaftar sebagai ahli menerusi satu aplikasi untuk mula melabur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamzah berkata mangsa yang tertarik dengan tawaran berkenaan telah membuat 25 transaksi pemindahan wang ke tiga akaun bank berbeza pada 7 Mac hingga 24 April sebelum menyedari telah ditipu kerana perlu membuat bayaran tambahan bagi mengeluarkan keuntungan.
Berikutan itu, katanya, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya pada Rabu lalu.
Kes tersebut, kata Hamzah, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
- Bernama

