Pemuda PAS mempersoalkan komitmen kerajaan dalam menangani penagihan dadah dan vape, susulan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menggesa penyelesaian kepada isu yang telah lama berlarutan itu.
Exconya, Faizzuddin Mohd Zai berkata kenyataan itu menunjukkan dasar kerajaan yang tidak konsisten, terutama dalam soal penyahsenaraian nikotin sebagai bahan terkawal tanpa perlindungan perundangan yang sepadan.
"Pada 2023, menteri kesihatan PKR telah merestui cecair nikotin dikeluarkan daripada senarai racun di bawah Akta Racun 1952.
"Tindakan yang diambil tanpa mewujudkan sebarang kerangka perundangan kawalan yang berkesan secara automatik telah membenarkan dan menggandakan penjualan produk vape nikotin secara terbuka termasuk kepada remaja," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, keputusan itu bercanggah dengan komitmen yang dinyatakan Anwar untuk menangani ketagihan, sebaliknya meningkatkan akses kepada bahan yang membawa ketagihan.
Pada Rabu lalu, Anwar menyatakan kerisauan terhadap peningkatan penggunaan dadah dan vape dalam kalangan belia Melayu dan menggesa tindakan kolektif diambil bagi menangani isu ini.
Bertentangan dengan gesaan Anwar, Faizzuddin mengulangi kritikan mengenai keputusan untuk menggugurkan klausa Generational End Game (GEG) daripada Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023, yang bertujuan untuk melarang penjualan tembakau dan vape kepada individu yang dilahirkan selepas 2007.
Sebelum RUU Kesihatan Awam diluluskan pada 2022, 14.9 peratus belia berumur 13–17 tahun di negara ini dilaporkan menggunakan vape, meningkat daripada hanya 9.8 peratus pada 2017.
GEG digugurkan atas alasan ia akan mewujudkan dua set layanan berbeza berdasarkan tahun kelahiran.

Bagaimanapun, Faizzuddin berkata hujah sedemikian adalah cacat dan tidak konsisten.
"Banyak undang-undang sedia ada turut memberikan layanan berbeza berdasarkan umur tanpa dianggap diskriminasi, termasuk lesen memandu, transaksi di bank dan sebagainya," katanya.
Tambahnya, negara-negara yang memiliki rekod perjuangan hak asasi seperti United Kingdom, New Zealand dan beberapa bandar di Amerika Syarikat, undang-undang larangan jualan rokok berdasarkan tahun kelahiran telah pun dilaksanakan.
Faizzuddin turut memetik data Kementerian Kesihatan yang menunjukkan kos rawatan untuk satu kes EVALI (kecederaan paru-paru berkaitan penggunaan produk rokok elektronik atau vape) boleh mencecah RM150,000 dalam tempoh 12 hari rawatan di hospital.
Tanpa langkah kawalan yang berkesan, perbelanjaan penjagaan kesihatan berkaitan vape diunjurkan meningkat kepada RM369 juta setahun menjelang 2030.
Dia berkata kerajaan juga membelanjakan anggaran RM16 bilion setahun untuk merawat penyakit berkaitan merokok — angka yang jauh melebihi hasil yang dikutip daripada cukai tembakau.
Oleh itu, Pemuda PAS menggesa kerajaan mengkaji semula dasar semasa dan mengembalikan dasar GEG sebagai sebahagian daripada usaha kawalan tembakau yang lebih meluas.
"Ini penting bagi memastikan dasar kesihatan awam negara lebih selari dengan langkah penjimatan dana negara, objektif pencegahan jangka panjang dan perlindungan kepada generasi muda,” kata Faizzuddin.
Bulan lalu, sekumpulan pertubuhan masyarakat sivil dan individu memperbaharui gesaan agar kerajaan mengenakan larangan sepenuhnya terhadap produk rokok elektronik dan vape di seluruh negara, selepas beberapa negeri, termasuk Johor, Kedah, Kelantan, dan Terengganu, mengambil langkah untuk mengawal atau menyekat penjualan vape.
Antara mereka yang menyokong gesaan itu termasuk Dr Amar Singh HSS, Yayasan Chow Kit, Liga Rakyat Demokratik, aktivis hak kanak-kanak Siti Rahayu Baharin dan Hartini Zainudin, Persatuan Sahabat Wanita dan Persatuan Peguam Wanita.

