Portal berita Malaysiakini memenangi empat anugerah emas dalam Anugerah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2024 malam tadi.
Portal berita itu merangkul tempat pertama dalam empat kategori iaitu Rancangan Bual Bicara Video Terbaik; Multimedia Terbaik; Laporan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Terbaik; dan Laporan Penyiasatan Terbaik.
Malaysiakini juga memenangi tempat ketiga bagi kategori Laporan Penyiasatan Terbaik.
Wartawan KiniTV, Vivian Yap dan Phung Yie Wen memenangi anugerah Rancangan Video Terbaik menerusi segmen rancangan Lapang Dada dalam bahasa Malaysia yang bertajuk Rakyat Tanpa Kerakyatan Di Malaysia: Adakah Ini Masanya Untuk Dihentikan?.
Segmen itu menampilkan aktivis Wong Kueng Hui, ahli politik Ibrahim Ali, pemimpin NGO Lukman Sheriff Alias dan Pengarah Perlindungan Sosial DHRRA Malaysia, Maalini Ramalo, yang membincangkan isu kerakyatan di Malaysia.
Kategori Multimedia Terbaik dimenangi oleh simulasi interaktif Kini News Lab mengenai penipuan dalam talian bertajuk Can You Escape Online Scams? (Bolehkah Anda Melarikan Diri Daripada Penipuan Dalam Talian?).
Simulasi itu memberi peluang kepada pengguna untuk memahami taktik licik digunakan oleh penipu melalui beberapa siri permainan yang memperlihatkan pelbagai kemungkinan senario.
Anugerah itu dimenangi oleh bekas editor Kini News Lab Aidila Razak, bekas pembangun web Kini News Lab Ooi Choon Nam, ilustrator Kini News Lab Amin Landak, bekas pereka web Nor Natasya Syahirah Mohd Zaffri, editor grafik Malaysiakini Syariman Badrulzaman dan bekas wartawan Malaysiakini Dania Kamal Aryf serta Wong Kang Jia.
Bekas wartawan Malaysiakini Low Choon Chyuan; editor meja bahasa Cina, Lee Weng Keat; bekas jurugambar Mukhriz Hazim Muhammad Zabidi; ilustrator Kini News Lab, Amin Landak; dan bekas pemaju Kini News Lab, Ooi Choon Nam serta Nor Natasya Syahirah memenangi Pelaporan ESG Terbaik menerusi beberapa siri laporan mengenai penebangan hutan di Pahang.

Ia melibatkan satu siri laporan mengenai pembalakan di Pahang, Timber Grab: The Truth About Pahang’s Oil Palm Plantations (Ada Balak Di Balik Sawit), Pahang Deforestation Aided By RM52M Financing From Bank Islam (Bank Islam Biayai RM50 juta Projek Balak Pahang) dan 12 New Projects Approved Even After 2019 Deforestation Deadline (Walau tarikh tebang hutan dah tamat, 12 projek baru lulus di Semenanjung).
Siri itu membongkar kelemahan tadbir urus dalam pengurusan ladang kelapa sawit yang mengakibatkan pembalakan besar-besaran di kawasan sensitif alam sekitar, termasuk kawasan bersempadan dengan kawasan perlindungan harimau.
Anugerah emas keempat pula untuk pelaporan Penyiasatan Terbaik dimenangi oleh wartawan penyiasat Vinothaa Selvatoray, bekas jurugambar Malaysiakini Azneal Ishak, bekas wartawan multimedia KiniTV Khoo Shiyuan, grafik dan ilustrator Makmal Berita Kini, Amin Landak, dan bekas pembangun web Kini, bekas editor Kini News Lab Aidila Razak dan bekas pembangun web News Lab Ooi Choon Nam.
Siasatan tiga bahagian mereka mendapati tahap kromium – iaitu sejenis logam penyebab kanser – yang sangat tinggi dalam darah seorang pemuda Orang Asli yang tinggal berhampiran lombong bijih besi di Kampung Kelaik, Gua Musang.
Risiko kansernya adalah 64,000 kali lebih tinggi daripada biasa. Lombong itu adalah sebahagian daripada rantaian bekalan yang dikaitkan dengan eksport produk keluli ke China, Australia dan negara lain.
Laporan mendalam mereka bertajuk Heavy Metals Found In Kelantan Orang Asli Blood, Community Fear Poisoned By Mining (Maut di sungai merah’ - Orang Asli risau anak-anak keracunan) memaparkan kisah Orang Asli suku Temiar di Gua Musang, Kelantan, yang terjejas akibat pencemaran air berpunca daripada aktiviti perlombongan.
Malaysiakini juga memenangi tempat ketiga bagi kategori sama menerusi satu siri laporan penyiasatan mengenai sindiket pemerdagangan pekerja migran oleh wartawan B Nantha Kumar.
Laporannya bertajuk Sindiket Warga Asing: ‘Ikan Besar’ Masih Bebas mendedahkan kewujudan sindiket dalaman yang melibatkan pegawai Jabatan Imigresen, yang didakwa menyalahgunakan visa perubatan Malaysia untuk menyeludup masuk pekerja asing.

