Kontroversi berkaitan fenomena 'badan tanpa kepala' pada pemilihan PKR nampaknya belum surut selepas PKR cabang Puchong membuat aduan dengan mendakwa mesyuarat pertama cabang yang diadakan dua hari lalu sebagai tidak sah.
Timbalan Ketua PKR Puchong Zubir Khan menghantar surat aduan kepada pejabat setiausaha agung, Fuziah Salleh semalam. Surat itu turut ditandatangani oleh 17 ahli jawatankuasa cabang.
Ketua Wanita PKR Puchong Yusni Mat Yusof turut mengesahkan aduan itu dibuat.
"Saya mengesahkan aduan berhubung ketidaksahihan mesyuarat pertama cabang Puchong dan pembentukan jawatankuasa bertindak," katanya kepada Malaysiakini.
Dia mendakwa mesyuarat itu tidak dijalankan mengikut perlembagaan Parti dan peraturan mesyuarat.
"Berdasarkan kepada ketidakpatuhan terhadap proses serta perlembagaan, kami berpandangan mesyuarat itu adalah tidak sah dan semua keputusan yang dibuat dalam mesyuarat adalah terbatal dan tidak boleh diterima sebagai keputusan rasmi cabang," katanya.
Dia berkata antara perkara yang menjadi pertikaian adalah mesyuarat dijalankan tanpa kehadiran majoriti ahli jawatankuasa cabang yang menang dan keputusan tetap dibuat walaupun tidak cukup korum.
"Selain itu, pelantikan ahli jawatankuasa telah dilakukan tanpa proses pemilihan sah yang sewajarnya dalam mesyuarat. Pelantikan dibuat hanya oleh ketua Cabang tanpa melalui mesyuarat pertama dan notis dikeluarkan melalui setiausaha yang dilantik di luar mesyuarat pertama cabang," dakwanya.
Malaysiakini telah menghubungi Fuziah dan Ketua PKR Puchong Zaihasri Jaafar untuk maklum balas berkenaan dakwaan itu.

Untuk rekod, PKR Puchong adalah salah satu daripada sejumlah cabang yang berdepan fenomena 'badan tanpa kepala', iaitu pasukan menang tetapi calon ketuanya kalah.
Antara contoh paling ketara termasuk Gan Ay Ling di Kangar, Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Mohd Kamri Kamaruddin (Ampang), Rodziah Ismail (Shah Alam) dan Ginie Lim (Alor Gajah).
Bekas naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad turut tewas dalam perebutan jawatan ketua cabang Setiawangsa kepada pencabarnya, pengarah dan pelakon Afdlin Shauki.
Semakan Malaysiakini mendapati Perlembagaan PKR tidak jelas berhubung pelantikan di peringkat cabang.
Menurut Fasal 38.2, Notis mesyuarat Jawatankuasa Cabang hendaklah dikeluarkan oleh setiausaha cabang tidak kurang daripada tujuh hari sebelum tarikh mesyuarat.
Jika setiausaha tidak berbuat demikian, maka pihak yang memanggil mesyuarat hendaklah mengeluarkan notis tersebut.
Sementara Fasal 38.4 pula menyebut korum mesyuarat jawatankuasa babang adalah tidak kurang satu pertiga daripada jumlah ahli jawatankuasa.
Tidak ada sebarang penjelasan berhubung kuasa ketua cabang berhubung jika dia boleh membuat lantikan di peringkat cabang sebelum mesyuarat pertama dilakukan.

