malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Isi rumah guna kurang 1,000kWj tak terkesan dengan tarif elektrik baru
ADS

Tarif elektrik baru bagi Semenanjung Malaysia akan berkuat kuasa mulai 1 Julai, namun Suruhanjaya Tenaga menjelaskan kebanyakan isi rumah tidak akan terkesan dengannya.

Suruhanjaya itu berkata isi rumah yang menggunakan kurang daripada 1,000 kWj sebulan akan dikecualikan daripada kenaikan harga menerusi Insentif Cekap Tenaga.

Ia walaupun tarif asas meningkat daripada 39.95 sen/kWj kepada 45.4 sen/kWj. 

Perubahan ini berkemungkinan berpunca daripada kaedah bagaimana kos penjanaan elektrik dipindahkan kepada pengguna.

Ketika ini, di bawah kaedah Imbalance Cost Pass-Through (ICPT), jika kos bahan api melebihi unjuran enam bulan, surcaj sehingga 16 sen akan dikenakan ke atas tarif asas. Sebaliknya, jika kos bahan api lebih rendah, rebat akan diberikan.

Namun mulai bulan depan, kaedah ICPT akan digantikan dengan mekanisme pelarasan bahan api automatik (AFA) yang akan mengemas kini kos bahan api secara bulanan.

Melalui AFA, surcaj ke atas tarif asas akan dihadkan kepada 3 sen sahaja. Sebarang jumlah melebihi itu memerlukan kelulusan kerajaan.

Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan Suruhanjaya Tenaga, pengecualian surcaj dijangka akan dikurangkan kepada 1,000 kWj sebulan, berbanding 1,500 kWj sebelum ini.

Ketidaktentuan harga bahan api

Mengulas mengenai peralihan daripada ICPT kepada AFA, CEO Suruhanjaya Tenaga Siti Safinah Salleh berkata langkah ini dijangka akan membantu menangani ketidaktentuan harga bahan api dengan lebih baik serta meningkatkan ketelusan kepada rakyat.

“Langkah ini membolehkan pelarasan dibuat – termasuk pelarasan harga bahan api dan kadar tukaran mata wang asing – dengan lebih tepat mengikut pasaran,” katanya.

Siti Safinah turut memaklumkan Skim Waktu Guna (Time of Use - TOU) yang menawarkan kadar tarif berbeza mengikut masa penggunaan – berdasarkan waktu puncak atau bukan puncak – akan diperluaskan.

Waktu bukan puncak kini akan merangkumi hujung minggu dan 15 cuti umum.

Katanya lagi, mulai 1 Julai, waktu puncak akan bermula dari jam dua petang hingga 10 malam, manakala waktu bukan puncak ialah dari jam 10 malam hingga dua petang keesokannya.

Selain itu, bil elektrik juga akan memaparkan pecahan caj secara terperinci, termasuk caj berdasarkan kapasiti, penjanaan, rangkaian dan runcit — bagi membolehkan pengguna mengetahui dengan jelas penggunaan dalam jumlah bil mereka.

Tarif elektrik di tengah peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan dilaksanakan bermula 1 Julai.

Melalui langkah itu, barangan bukan keperluan akan dikenakan cukai jualan antara lima hingga 10 peratus, manakala cukai sifar kekal bagi barangan keperluan asas.

Kerajaan juga merancang untuk memulakan proses rasionalisasi subsidi petrol RON95.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen