Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) memberi peringatan bahawa peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) melibatkan sewaan komersial berkemungkinan menyebabkan pengguna terpaksa membayar lebih akibat kenaikan harga barangan.
MRCA turut menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan kadar lapan peratus SST ke atas perkhidmatan sewaan dan pajakan.
Menurut persatuan itu, walaupun mereka memahami hasrat kerajaan untuk memperluas asas cukai dan memperkukuh kedudukan fiskal, namun “cabaran besar” dijangka akan dihadapi para peruncit, khususnya mereka yang memiliki premis fizikal.
“Beban kos tambahan ini, di saat banyak perniagaan sudah pun bergelut dengan peningkatan kos operasi — termasuk pelarasan gaji minimum, keperluan pemeteraian kontrak pekerja dan pematuhan peraturan yang lebih ketat — akan terus menekan margin keuntungan sedia ada.
“Dalam konteks rantaian bekalan daripada pengilang dan pengedar kepada peruncit, peningkatan kos perniagaan dijangka akan diterjemah kepada harga yang lebih tinggi ke atas pengguna,” kata MRCA dalam kenyataan hari ini.
Sentimen pengguna yang lemah
MRCA turut memberi peringatan bahawa peruncit secara keseluruhan akan semakin sukar menampung kos tambahan tersebut, terutama dalam keadaan sentimen pengguna yang lemah berikutan jangkaan pengurangan subsidi secara berperingkat dan tiadanya musim perayaan dalam masa terdekat.
“MRCA kekal komited untuk membantu ahli kami menyesuaikan diri dengan perubahan ini, dan kami akan terus berhubung dengan Kementerian Kewangan serta agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan dasar kekal seimbang, telus dan kondusif untuk pertumbuhan sektor runcit yang mampan,” katanya lagi.
Pada 9 Jun lalu, kerajaan mengumumkan semakan semula kadar cukai jualan secara bersasar serta peluasan skop cukai perkhidmatan, yang kedua-duanya akan berkuat kuasa mulai 1 Julai.
Kadar cukai jualan kekal tidak berubah bagi barangan keperluan, manakala kadar lima atau 10 peratus akan dikenakan ke atas barangan terpilih.
Skop cukai perkhidmatan pula akan diperluas merangkumi enam sektor baru: sewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan dan perkhidmatan kecantikan.
Sebelum ini, enam kumpulan perniagaan turut menggesa agar peluasan SST ditangguhkan – dengan hujah bahawa pelaksanaannya secara meluas ketika ketidaktentuan ekonomi boleh memburukkan inflasi, melumpuhkan perusahaan kecil dan sederhana, menjejaskan pelaburan dan mengurangkan keyakinan pengguna.
Mereka turut menyifatkan masa, skala dan skop pelaksanaan langkah cukai itu sebagai “sangat tersasar”.

